Pengerusi Crewstone International, Datuk Wira Jalilah Baba berkata, pemimpin yang bakal dilantik sebagai Presiden AS kelak perlu menerima perjanjian tersebut.

Sehubungan itu katanya, Malaysia tidak perlu bimbang terhadap perubahan pucuk pimpinan yang bakal berlaku di negara tersebut.

“Sudah tentu kita perlu melalui proses ratifikasi selama dua tahun dan semua 12 negara dalam TPPA mungkin terpaksa membuat banyak perubahan dalam undang-undang dan peraturan supaya selaras dengan perjanjian ini.

“Ini adalah proses normal dalam perjanjian perdagangan bebas, tidak kira siapakah pemimpin yang mengambil alih (teraju kepimpinan) negara itu, mereka perlu mematuhi perjanjian yang telah dibuat. Tidak ada cara untuk menukar perjanjian tetapi mereka boleh memastikan proses ratifikasi dijalankan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel pada Sidang Kemuncak Tahunan Takbir Urus Korporat Kelapan di sini hari ini.

Kebimbangan tersebut wujud disebabkan calon-calon Presiden AS daripada parti Republican khususnya, Donald Trump dilaporkan tidak menyokong perjanjian terbabit.

Jalilah berkata, TPPA tidak boleh ditukar kecuali ia dibawa semula ke meja rundingan dan perkara tersebut tidak mungkin dilakukan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada ketidaktentuan pasaran dan politik ketika ini akan menyebabkan pelabur berpindah dari Malaysia, beliau yang menolak andaian itu sebaliknya berkata, selain kestabilan politik, faktor lain seperti kos dan kemudahan menjalankan perniagaan merupakan perkara yang diambil kira oleh pelabur untuk menjalankan perniagaan mereka di sesebuah negara.

Beliau mengambil contoh syarikat Samsung yang menutup kilang pengeluarannya di negara ini bukan disebabkan faktor politik.

“Mereka menutup kilang di Malaysia atas sebab lain. Syarikat di Malaysia kebanyakan menghasilkan produk untuk pasaran Asia Barat dan Afrika. Pasaran tersebut mengenakan duti import yang tinggi kepada produk siap yang dieksport ke sana.

“Jadi mereka tiada pilihan dengan membuka kilang di Mesir untuk pasaran negara-negara di Afrika dan Asia Barat,” ujarnya yang juga penasihat kepada syarikat berkenaan.