Seramai 127 anggota Dewan menyokong penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas itu yang dijadual akan dinoktahkan di New Zealand mingu ini.

Untuk rekod, Malaysia satu-satunya negara yang mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan penyertaannya dalam perjanjian perdagangan bebas tersebut.

Di sebalik pelbagai tuduhan dan persepsi yang dilemparkan, apa yang pasti, penyertaan Malaysia dalam TPPA bakal membuka pintu perniagaan cukup luas buat syarikat-syarikat tempatan mengembangkan sayap perniagaan mereka ke luar negara, terutama negara-negara yang tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan secara langsung dengan Malaysia.

Perjanjian itu juga membuka rantaian jalinan kerjasama (JV) dan peluang meneroka pasaran baharu buat syarikat-syarikat Malaysia yang berminat mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara, seterusnya membina entiti lebih besar.

Ini kerana, TPPA melibatkan 12 buah negara (termasuk Malaysia) dengan jumlah gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak hampir AS$30 trilion (RM126.127 trilion) menyediakan banyak peluang untuk direbut.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dan sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, justeru Malaysia juga bergantung kepada hubungan dagangan dengan negara luar khususnya yang mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengannya.

Dengan penduduk lebih 30 juta orang, pasaran tempatan yang kecil untuk mengembangkan industri dan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat, Malaysia perlu memperbanyakkan eksport dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

Menyertai blok perdagangan bebas seperti TPPA yang mempunyai kira-kira 800 juta penduduk dengan menguasai kira-kira 40 peratus KDNK dunia, merupakan peluang terbaik buat Malaysia memperluaskan eksport produk ‘Buatan Malaysia’, selain menarik kemasukan pelaburan asing yang setakat suku ketiga 2015 lalu berjumlah RM500.2 bilion.

Bagi syarikat-syarikat tempatan, mereka perlulah mengatur strategi, mempersiapkan diri bagi menghadapi persaingan bukan setakat TPPA, tetapi juga Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta lain-lain blok perdagangan bebas. Kejayaan mereka akan memacu ekonomi dan pembangunan Malaysia mencapai Wawasan 2020.

Antara usaha yang boleh dilakukan ialah memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi di syarikat masing-masing. Kedua-dua perkara ini akan membantu syarikat-syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghasilkan produk yang lebih berdaya saing dan memenuhi kehendak pasaran.

Syarikat-syarikat tempatan juga boleh memanfaatkan agensi-agensi kerajaan seperti Mardi, SIRIM dan pelbagai kemudahan lain disediakan kerajaan dalam meningkatkan keupayaan mereka.

Apa yang pasti, TPPA bakal menyediakan pelbagai peluang dan syarikat serta rakyat Malaysia tidak harus bimbang, sebaliknya proaktif untuk terus maju dan merebut potensi yang ada.