Firma antarabangsa PricewaterhouseCoopers (PwC) berkata, ia meliputi kebebasan Petronas menentukan pihak-pihak terlibat dalam sesebuah kontrak dan syarat perjanjian bagi penyertaan asing.

Katanya, ini akan membenarkan Petronas untuk menyokong pertumbuhan pembangunan O&G Malaysia menerusi pemindahan teknologi dan pembinaan keupayaan tempatan

“Kebanyakan tarif bagi eksport produk berkaitan petroleum sememangnya sudah atau hampir sifar malah Petronas mengeksport 74 peratus ke negara bukan TPPA.

“Selain itu, TPPA turut menawarkan perlindungan pelabur yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan pelaburan dalam kalangan negara TPPA,” katanya dalam Analisis Kepentingan Negara di sini hari ini.

Berdasarkan kajian dilakukannya, meskipun begitu, terdapat 12 barang dan perkhidmatan segmen minyak dan gas (O&G) akan diliberalisasikan sepenuhnya di bawah TPPA.

“Ia termasuk perolehan data seismik, perkhidmatan baiki dan selenggara turbin gas, perkhidmatan kawalan injap dan barangan tiub minyak negara.

“Senarai 12 barang dan perkhidmatan ini terdiri daripada 10 peratus perbelanjaan Petronas dan Perjanjian Kontraktor Petroleum,” katanya.

Tindakan liberalisasi itu juga tidak dijangka memberi impak kepada syarikat domestik.

Buat masa ini, operasi perniagaan bagi 12 barang dan perkhidmatan itu didominasi oleh penyertaan firma luar negara.