MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk program latihan serta meningkatkan standard perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri tekstil.

“(Dari aspek) Pembungkusan, contohnya. Kita semakin berkembang kerana persembahan adalah sangat penting.

“Hasil daripada pelbagai program pembangunan keupayaan, beberapa barangan kita telah menembusi pasaran global,” katanya kepada pemberita selepas program perkongsian pengetahuan mengenai TPPA di sini, hari ini.

Mustapa, memetik kajian yang dijalankan badan pemikir Amerika Syarikat (AS) berkata, Malaysia dan Vietnam akan me­raih manfaat dalam industri tekstil susulan tarif eksport sifar yang dipersetujui dalam TPPA ber­kenaan.

Justeru itu, katanya, ia akan memberi manfaat kepada PKS terutama mereka yang giat dalam industri tekstil.

“Kita mempunyai peluang yang sangat besar, contohnya, baju menyumbang 35 peratus daripada eksport tekstil negara ke AS. Duti ke atas baju adalah 25 peratus dan dengan TPPA, cukai ke atas barangan ini akan menjadi sifar. Ia pengurangan yang sangat besar,” katanya.

Terdahulu, Mustapa menggesa PKS supaya menyesuaikan dengan perubahan landskap perniagaan dan persaingan yang semakin sengit.

“Perniagaan adalah bersifat dinamik. Ia berubah setiap hari. PKS perlu menyesuaikan dengan TPPA, perubahan persekitaran serta perdagangan atas talian.

Walaupun tanpa TPPA, perniagaan tetap mengalami cabaran setiap hari,” katanya. – BERNAMA