Berdasarkan Analisis Kepentingan Negara firma antarabangsa PricewaterhouseCoopers (PwC), jika Malaysia tidak sertai TPPA, KDNK bakal berkurang di antara AS$9 bilion (RM38.02 bilion) sehingga AS$16 bilion (RM67.59 bilion) pada 2018-2027.

Katanya, kenaikan yang tinggi dalam KDNK itu disebabkan lebih 90 peratus keuntungan didorong oleh penurunan langkah bukan tarif dalam TPPA.

“Tanpa penglibatan dalam TPPA, akses pasaran dalam kalangan firma Malaysia dengan negara terlibat adalah terhad terutamanya berkaitan langkah bukan tarif.

“Ia sekali gus berpotensi mengurangkan tahap daya saing bagi beberapa sektor termasuk elektrik dan elektronik (E&E) serta tekstil,” katanya menerusi laporan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Di samping itu, perlindungan menyeluruh demi perniagaan bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan milik negara (SOE) akan menjadi sia-sia jika negara tidak menandatangani TPPA.

Ujar firma itu lagi, nilai pelaburan negara akan turut berkurangan kepada AS$13 bilion (RM54.83 bilion) dan syarikat tempatan boleh terlepas daripada peluang eksport dan pelaburan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perubahan kos yang perlu dilaksanakan firma tempatan dalam menyertai TPPA seperti syarikat minyak dan gas (O&G) yang bakal berdepan persaingan yang lebih tinggi.

Perjanjian berkenaan diakui memberi banyak manfaat ekonomi justeru kerajaan dan pemain industri perlu bekerjasama untuk menilai jaminan potensi tersebut.

Sehubungan itu, jika Malaysia memutuskan untuk meraih manfaat itu, perancangan dan pelaksanaan langkah-langkah pembinaan kapasiti dan pembaharuan struktur perlu diambil segera.