Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad
Mohamad Madani Sahari

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, menjelang tahun 2021 pasaran dijangka lebih liberal dan ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam industri, sekali gus membuatkan harga kenderaan menjadi lebih kompetitif.

“Kerajaan tidak akan lagi mengawal harga kenderaan seperti mana waktu ini. Permintaan dan penawaran dalam pasaran akan menjadi faktor utama yang akan menentukan harga kereta oleh syarikat-syarikat pengeluar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

TPPA yang telah dipersetujui oleh 12 negara termasuk Malaysia bulan lalu, akan menjadi piawaian dalam aspek pemansuhan halangan-halangan perdagangan dan pelaburan sama ada berbentuk tarif dan bukan tarif.

Jepun merupakan satu daripada negara dalam pembentukan perjanjian tersebut, adalah negara paling utama yang mahukan liberalisasi industri automotif dengan harapan syarikat-syarikat automotifnya dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan lebih mudah.

Bagaimanapun kata Mohamad Madani, pihaknya akan membuat penerangan lanjut bagaimana TPPA bakal memberi impak terhadap industri automotif tempatan.

“Apa yang boleh saya gambarkan sekarang ialah TPPA akan menawarkan lebih banyak manfaat untuk industri automotif dan pemain-pemain industri dan pengguna akan mendapat faedahnya,” kata beliau.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dilaporkan berkata, selain TPPA, penyertaan Malaysia di dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bersama Jepun dan Australia juga mampu mendorong penurunan harga kenderaan dalam pasaran.

Beliau bagaimanapun berkata, di bawah TPPA kereta-kereta yang diimport dari Amerika Syarikat dan Kanada hanya akan menikmati status bebas cukai untuk selama 12 tahun sahaja.

Menurut Laporan Menghapuskan Halangan Perdagangan 2014 yang dikeluarkan oleh Institut Kajian ASEAN CIMB dan Frost & Sullivan sebelum ini, keterbukaan industri automotif sukar dilakukan memandangkan tekanan politik yang mahukan industri tersebut dilindungi kerana dianggap sebagai kepentingan nasional.

Beberapa analisis mengaitkan Malaysia mengamalkan dasar melindungi jenama kereta nasional, Proton daripada saingan sengit jenama-jenama kereta asing termasuk dengan cara mengawal harga kereta-kereta asing yang dipasarkan di negara ini.

Kerajaan dijangka membentangkan Analisis Kos Faedah (CBA) bagi menghuraikan baik buruk penyertaan Malaysia di dalam TPPA terhadap syarikat-syarikat tempatan dan bumiputera sebelum akhir tahun ini.