Menurut analisis kepentingan negara yang dijalankan firma antarabangsa PricewaterhouseCoopers (PwC), perkara tersebut terpakai kepada mana-mana syarikat yang jatuh di bawah definisi SOE dalam perjanjian perdagangan tersebut.

Di bawah perjanjian perdagangan tersebut, SOE didefinisikan sebagai entiti yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti komersial dan kerajaan memiliki lebih daripada 50 peratus modal saham, menguasai lebih daripada 50 peratus hak mengundi dan memegang kuasa untuk melantik majoriti lembaga pengarah atau pihak pengurusan.

“Walau bagaimanapun, kelonggaran tertentu telah diberikan kepada Malaysia antaranya termasuklah SOE dibenarkan untuk memberi keutamaan ke atas pembelian mereka sehingga 40 peratus daripada pembelian belanjawan tahunan mereka di dalam negara,” katanya menerusi laporan analisis kos faedah TPPA yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambahnya, syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), turut diberikan kebenaran mengutamakan aktiviti huluan mereka sehingga 70 peratus pada tahun pertama dan dikurangkan kepada 40 peratus pada tahun keenam dan seterusnya.

Ujarnya, Syarikat minyak nasional itu juga dibenarkan untuk memberi keutamaan dalam jualan gas asli dan hasil sampingan mereka.

PwC berkata, melalui TPPA juga, peluang-peluang bagi vendor-vendor di bawah Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) boleh distrukturkan semula bagi memastikan ia kekal efektif dan mampu mencapai objektifnya.

BVDP yang merupakan satu inisiatif di bawah Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan (GLCTP) menyediakan peluang perniagaan khusus kepada syarikat-syarikat bumiputera dengan tujuan untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

“Fokus harus diberikan untuk menjadikan vendor bumiputera ini lebih kompetitif agar mereka boleh mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan dan membekalkan barang dan perkhidmatan semata-mata berdasarkan merit teknikal dan komersial sahaja,” katanya.