Pakar Ekonomi Perdagangan Kanan HSBC Global Research, Douglas Lippoldt berkata, perjanjian tersebut yang masih berada dalam fasa ratifikasi dengan 12 negara terlibat bakal mula memberi impak dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya, berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan oleh beberapa firma penyelidikan, TPPA dilihat akan mendorong pertumbuhan nilai eksport sehingga 20 peratus.

Beliau justeru menyifatkan penglibatan Malaysia dalam perjanjian ekonomi yang komprehensif berkenaan membawa kepada pelbagai pencapaian positif.

“Selain TPPA, Malaysia yang turut terlibat dalam rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan meraih lebih banyak manfaat dari segi pertumbuhan ekonomi.

“Kedua-dua perjanjian ini jika digabungkan dengan populasi generasi muda yang dinamik di dalam negara serta kekayaan sumber asli akan meletakkan Malaysia di kedudukan tinggi dalam pembangunan ekonomi,” katanya dalam sesi taklimat media di sini hari ini.

Pembentangan oleh HSBC Global Research itu memfokuskan tentang peluasan peluang perdagangan antarabangsa dalam ketidaktentuan ekonomi.

Menurut Lippoldt, eksport dari Malaysia diunjur meningkat sebanyak 2.2 peratus pada tahun ini dan berkembang kira-kira 3.5 peratus pada 2017.

Tambahnya, meskipun aktiviti dagangan pada tahun lalu berdepan tekanan, perbelanjaan pengguna di peringkat global terus meningkat dan potensi terhadap pemangkin pelaburan kekal ada.

“Halangan kepada akses pasaran sedang diselesaikan secara progresif di peringkat serantau dan ini akan dapat memacu nilai eksport negara,” katanya.