Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay berkata, perbincangan yang telah bermula sejak 2008 akan menyaksikan kesudahannya apabila perjanjian itu ditandatangani di Auckland bulan depan.

“Selepas itu, semua 12 negara akan dapat memulakan proses pengesahan di negara masing-masing dan mempunyai masa sehingga dua tahun sebelum perjanjian itu mula berkuat kuasa,” katanya menerusi laporan AFP di sini hari ini.

TPPA bertujuan mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, membawa bersama 12 negara pasifik termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Seluruh perjanjian perlu disahkan seperti yang dipersetujui tanpa perubahan yang boleh menghubungkan kerajaan dan badan perundangan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan perjanjian itu sebagai asas untuk “perdagangan abad ke-21”.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pihak tidak bersetuju dan mengkritik perjanjian mengancam hak-hak pekerja, perlindungan alam sekitar dan akses kepada ubat lebih murah.

Rundingan TPPA telah berjalan sejak lima tahun lalu melibatkan 12 negara termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Sebanyak 12 negara terbabit mewakili 40 peratus ekonomi global dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul berjumlah hampir AS$30 trilion (RM131.55 trilion).

Malaysia akan membahaskan penyertaannya dalam TPPA di Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini.

Baru-baru ini, Ketua Kluster Eko­nomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pada waktu ini, kira-kira 70 peratus pasaran dagangan negara tertumpu di Asia, 12 peratus di Amerika Utara, 11 peratus di Eropah dan kira-kira tujuh peratus dari negara-negara lain.

Menurut Choo Boon, Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada TPPA kerana ia menyediakan akses kepada pasaran bebas cukai menjangkau 800 juta penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$27.5 trilion (RM120.41 trilion). – AGENSI