Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Amerika Syarikat (AS) merupakan satu daripada negara TPPA yang mempunyai penduduk minoriti Islam yang ramai selain Kanada, Australia serta New Zealand dan ia memberi kesempatan kepada pengeluar-pengeluar produk halal tempatan untuk mengeksport produk masing-masing ke negara-negara berkenaan.

Malah katanya, Jepun yang juga ahli TPPA kini giat membangunkan industri halal untuk dijadikan satu daripada sektor penting terhadap ekonominya menjelang tahun 2020.

“Malaysia dikenali sebagai negara utama dari segi pengeluaran dan perdagangan industri halal. TPPA boleh menjadi platform yang penting untuk mengembangkan lagi industri ini. Australia dan New Zealand juga tidak asing dengan industri halal ini sementara AS dan Kanada mempunyai penduduk minoriti Islam yang agak ramai.

“Kita melihat potensi pasaran negara-negara ini. Dengan lebih banyak usaha promosi kita boleh mendapat lebih banyak akses pasaran dan seterusnya memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Minggu Halal Sedunia 2016 (WHW 2016) di sini hari ini.

Selain Malaysia, 11 negara TPPA yang lain ialah AS, Kanada, Jepun, Australia, New Zealand, Brunei, Chile, Singapura, Mexico, Peru dan Vietnam.

Tambah Mustapa, sejak 2006 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia mula menjadikan industri halal sebagai agenda nasional termasuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang menyasarkan pendapatan eksport halal negara mencecah RM19 bilion pada 2020.

Namun katanya, hasil rangka kerja yang baik serta usaha berterusan bagi mengembangkan industri, pendapatan eksport halal negara telah mencecah RM38 bilion pada 2014 dan dijangka bernilai RM42 bilion pada 2015.

“Tiada negara selain Malaysia yang menjadikan industri halal sebagai agenda nasional dan komponen penting terhadap sumbangan pertumbuhan ekonomi negara. Kita mempunyai ekosistem halal yang lengkap meliputi pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, kosmetik, perkhidmatan dan farmaseutikal,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menjangka pertumbuhan eksport halal negara tahun ini lebih sederhana berdasarkan ketidaktentuan perdagangan global semasa.

WHW 2016 bakal dilangsungkan pada 28 Mac hingga 2 April 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Program itu turut mengandungi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) Ke-13, Persidangan Halal Sedunia (WHC) dan Konvensyen Badan-badan Persijilan Halal Antarabangsa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Ketujuh.