Selain itu, tarif produk lain getah turut ditamatkan secara berperingkat dalam masa 16 tahun mulai tarikh penguatkuasaan perjanjian pada 2018, kata Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC).

“Berikutan halangan tarif yang rendah di bawah TPPA, produk industri getah Malaysia akan lebih berdaya saing dalam pasaran (negara-negara) Perkongsian Trans-Pasifik (TPP),” kata MREPC dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, kata agensi itu, syarikat-syarikat Malaysia akan memiliki kelebihan berbanding negara saingan terdekat iaitu Thailand, China, Indonesia, India dan Sri Lanka dari segi eksport ke negara anggota penting seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Australia.

Pada 2014, jumlah pengimportan produk getah (termasuk tayar, sarung tangan, kasut dan hasil industri) oleh 12 negara TPP dianggarkan bernilai AS$96 bilion (RM394.896 bilion) manakala import dunia sebanyak AS$269 bilion (RM1,106.53 bilion), kata MREPC.

“Negara-negara TPP mempunyai permintaan besar bagi produk getah yang ketika ini merangkumi kira-kira 36 peratus daripada import getah dunia dan Malaysia adalah antara 10 pengeksport utama produk getah ke negara-negara TPP itu,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula menolak kemungkinan negara-negara pengeksport utama getah lainnya seperti Thailand dan Indonesia, akan menyertai TPP dalam masa terdekat ini.

“Ia tidak akan berlaku pada masa terdekat ini kerana TPP tidak lagi menerima anggota baharu sehinggalah perjanjian itu dikuatkuasakan,” katanya menambah Malaysia meraih kelebihan sebagai negara penggerak pertama susulan pemeteraian perjanjian itu pada Februari lepas.

Menurut MITI, mana-mana negara baharu yang berhasrat menyer­tai perjanjian itu pada masa akan datang, perlu membincangkan terma dengan negara individu TPP.

Mengulas isu berkaitan peraturan pekerja dan alam sekitar, kementerian itu berkata dasar-dasar tertentu yang termaktub di bawah prosedur serta undang-undang domestik dan tidak boleh dimasukkan ke dalam TPPA.

“TPPA akan memastikan semua negara anggotanya mematuhi piawaian antarabangsa pekerja dan alam sekitar yang menggalakkan tadbir urus baik menerusi penekanan terhadap ketelusan perniagaan,” katanya. – BERNAMA