Presiden UMWT, K. Ravindran berkata, Toyota Yaris terakhir dijual antara 2006 dan 2012 yang dibawa masuk secara unit kenderaan diimport sepenuh­nya (CBU) dari Jepun dengan jualan 1,000 buah kenderaan.

“Selera dan keperluan pengguna juga sudah berubah. Semakin ramai pelanggan, terutama generasi muda yang menggemari rekaan hatchback kerana ia memberi imej sporty. Melihat trend ini, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula Yaris ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan.

“Model ini juga merupakan hatchback pemasangan tempatan (CKD) yang pertama dihasilkan di kemudahan pengeluaran baharu UMWT di Bukit Raja, Klang, Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yaris serba baharu boleh didapati dalam tiga ­varian iaitu 1.5G, 1.5E dan 1.5J. Ia didatangkan dengan pen­dingin hawa automatik, sistem DVD-AVX dengan paparan skrin sentuh tujuh inci lengkap de­ngan sambungan USB serta peninjau pemandangan panoramik (PVM).

Jentera tersebut dikuasakan enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i dan ditala untuk memberikan penjimatan dan penyaluran kuasa dan tork yang lancar.

Semua varian hadir de­ngan transmisi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan. Ia turut mempunyai mod manual bagi membo­lehkan pemandu memilih kedudukan gear dalam sistem transmisi berubah-ubah berterusan (CVT) sementara Suis Drive Mode pula memberi pilihan antara penjimatan minyak atau pun prestasi pemanduan.

Semua varian Yaris menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang kerana dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif dan aktif. Ciri keselamatan lain termasuk tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC).

Ciri-ciri standard lain se­perti cermin pandang belakang elektrokromatik dan suis Drive Mode, peninjau titik buta (BSM) dengan amaran lintasan trafik di belakang, DVR dengan amaran perlanggaran hadapan (FCW) dan amaran penukaran lorong (LDW).

Untuk ketenangan pe­langgan, pemilik Yaris akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan selepas pendaftaran asal. Pemilik boleh memanfaatkan tempoh lima tahun itu sepenuhnya walaupun kenderaan telah bertukar nama dalam tempoh tersebut.