Ketua Pengurusan Fleet TNB, Datuk S. Viswanathan berkata, trak akan digunakan untuk mengangkut bahan api diesel bagi mengisi semula set penjana mudah alih TNB sewaktu operasi.

Katanya, UD Trucks diedarkan oleh Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd. (TCIE) yang merupakan rakan pengedar tunggal.

“Sebagai pembekal elektrik negara, TNB mempunyai pera­nan penting dalam memastikan para pelanggan mendapat bekalan dipercayai daripada rangkaian sistem kami.

“Penambahan trak ini akan menjadi trak sokongan untuk mengangkut bahan api diesel untuk set penjana mudah alih yang akan digerakkan sekiranya berlaku gangguan yang tidak dijangka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

UD Croner adalah satu daripada trak paling cekap bahan api dalam kategorinya.

Ia mempunyai ciri-ciri amaran keselamatan yang kukuh dan sistem bahan api bimbi­ng­an yang membantu memperbaiki tingkah laku memandu dengan menggesa pemandu untuk menggunakan ‘revs’ yang optimum dan mengurangkan pecutan tidak perlu.

Beliau berkata, TNB perlu cepat menyediakan penjana mudah alih untuk mengurangkan tempoh gangguan.

“Set generator mudah alih ini dilengkapi trak UD yang perlu bergerak dan beroperasi di lokasi serta perlu diisi semula dari semasa ke semasa untuk memastikan fungsinya berjalan lancar,” tambahnya.

Tahun lepas, TNB membeli sebanyak sembilan unit trak UD Quester, terdiri daripada tujuh unit lori 18 tan dan dua unit lori 24 tan yang kini digunakan sebagai set penjana mudah alih di seluruh negara.