TNB dalam kenyataan hari ini mengakui terdapat individu cuba menggunakan nama syarikat itu untuk mengambil kesempatan bagi mendapatkan projek pemasangan sistem solar.

"Merujuk kepada mesej media sosial berkaitan program pemasangan sistem solar di masjid-masjid dan surau-surau ditawarkan seorang individu, kononnya dengan kerjasama TNB.

"Kami menafikan terdapat kerjasama antara TNB dan individu tersebut bagi menawarkan perkhidmatan pemasangan solar seperti ditularkan," katanya

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, TNB menawarkan skim pemasangan solar tanpa modal awalan melalui anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd.

"Namun skim tersebut hanya ditawarkan kepada pelanggan komersial serta industri termasuk masjid dan rumah ibadat yang layak.

"Skim yang dinamakan Solar Energy Purchase (SEP) ini membolehkan pelanggan menikmati penjimatan bil melalui penjanaan tenaga solar di atas bumbung," jelasnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan GSPARX, sila layari www.tnb.com.my/solar, www.gsparx.com atau email ke [email protected] - UTUSAN ONLINE