Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ir Azizi A Hadi berkata, terdapat banyak penyedia perkhidmatan perbankan digital dan e-wallet terkemuka di negara ini untuk dipilih bagi melaksanakan usaha sama itu.

“Kami menyedari bahawa dalam usaha memperoleh penyelesaian menyeluruh, kami mungkin tidak dapat menguasai segala-galanya secara bersendirian.

“Usaha sama sangat penting. Oleh itu kami mencari rakan kongsi yang bersedia untuk bekerjasama dengan kami. Ada beberapa pembekal gerbang pembayaran, ada yang sangat berjaya, dan ada penyedia perkhidmatan perbankan digital yang kami boleh bekerjasama,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Azizi berkata, selain perbankan digital, terdapat banyak potensi dalam membangunkan penyelesaian dalam bidang perbankan tanpa wayar, pusat data, penyelesaian pemulihan bencana dan perkhidmatan keselamatan terurus dengan dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 18 Julai.

Dasar itu yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2020, menetapkan jangkaan bagi bank untuk mewujudkan rangka kerja pengurusan risiko teknologi menyeluruh.

“Di samping itu, kami juga sedang mengendalikan e-KYC (Kenali pelanggan anda) atau e-signature yang kami bangunkan sendiri dan boleh dilengkapkan menjadi sebahagian daripada penyelesaian akhir untuk industri perbankan digital.

“Kami juga mewujudkan platform kewangan bagi sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) dan bekerjasama rapat dengan BNM dan penggiat industri dalam sektor perbankan,” katanya sambil menambah bahawa teknologi lejar digital terbuka dan teknologi kewangan (fintech) adalah bidang lain yang sedang diaplikasikan oleh syarikat itu.

Azizi berkata BFSI, minyak dan gas, hartanah, pertahanan dan keselamatan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam adalah antara tujuh menegak dalam segmen perkhidmatan pintarnya.

“Kami bermula dengan 12 menegak pada 2017 dan susulan itu, kami telah mengeluarkan rangka digital untuk kesemua menegak.

“Pada akhir 2018, kami mencadangkan untuk mengurangkan hingga tujuh menegak dengan potensi pertumbuhan dan kecenderungan untuk mengguna digitalisasi, dengan sebahagian besar daripada mereka sudah berubah secara digital,” katanya.

Pada masa ini, sumbangan segmen perkhidmatan pintar masih agak kecil, katanya.

“Kami memulakan perkhidmatan pintar dengan melihat bangunan pintar, bandar pintar dan sebagainya, namun ketika kami menukar model operasi daripada perusahaan tradisional dan kerajaan kepada industri menegak, kami telah mengeluarkan lebih banyak penyelesaian perkhidmatan pintar, dengan niat untuk membantu mereka melalui transformasi digital sebagai sebahagian daripada janji kami kepada pasaran untuk menjadi pemboleh perusahaan dan digital.

“Saya menjangkakannya (perkhidmatan pintar) akan menjadi kritikal dalam penawaran kami, sama ada ia dapat menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan, akan bergantung kepada sejauh mana kami agresif dalam pasaran, jenis projek yang kami lakukan, dan bergantung kepada penggunaan digitalisasi antara perusahaan dan agensi kerajaan,” katanya.

Walaupun berhadapan persaingan yang lebih berat, Azizi percaya TM One, sebagai penyedia perkhidmatan bersepadu sepenuhnya, mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi urus niaga di pasaran. - BERNAMA