Pada 11.51 pagi, saham TM susut 34 sen kepada RM3.74 dengan 15.85 juta saham didagangkan. saham syarikat itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu pada 22 Ogos, pada RM4.60.

Kenanga Investment Bank dalam dalam nota penyelidikan hari ini berkata keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tahun 2019 sebanyak RM523.2 juta, menjadikan masing-masing 62 peratus dan 60 peratus daripada anggaran bank pelaburan itu dan konsensus setahun penuh.

Bagaimanapun katanya pendapatan separuh kedua dijangka lebih rendah memandangkan pelaburan yang besar boleh menjejaskan perbelanjaan operasi.

“Pada masa ini, kami percaya kumpulan itu dapat melaksanakan operasinya sebagai Program Peningkatan Prestasi (PIP) yang dilihat terus menunjukkan hasil yang mapan.

“Ini dapat mengharungi cabaran utama dalam menyediakan produk yang lebih mudah diases oleh pengguna secara meluas,” katanya.

Public Investment Bank dalam nota berasingan berkata walaupun tekanan pengawalseliaan terhadap TM telah berkurangan dan tiada penurunan harga jalur lebar lagi, trajektori pendapatan TM mungkin tidak mencatat peningkatan memandangkan kos dijangkakan tidak menurun secara drastik.

Tambahan pula, ia berkata rancangan TM untuk menamatkan secara beransur-ansur perkhidmatan Streamyx yang mahal tetapi lambat, berpotensi menanggung kos yang lebih tinggi dan hilang penguasaan pasaran jalur lebar kepada pesaing.

Sementara itu, keputusan Kabinet baru-baru ini untuk meluluskan RM21.6 bilion pelan penyambungan dan gentian optik nasional (NFCP) dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini, memerlukan penglibatan TM walaupun potensi pulangan ekonomi dari projek itu berkemungkinan rendah.

“Ini (NFCP) dijangka akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada penggunaan infrastruktur digital, terutama di kawasan yang kurang mendapat perhatian,” katanya.

AmInvestment Bank dalam nota lain berkata memandangkan peranan TM sebagai penyedia jalur lebar nasional, syarikat itu mungkin menanggung separuh daripada kos NFCP, kira-kira RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Selain daripada keperluan capexnya sendiri, pelancaran NFCP sahaja diterjemahkan sebagai 19 peratus daripada anggaran pendapatan tahun 2020,” katanya.

Selain itu, ia berkata teras NFCP ke arah menghubungkan penduduk luar bandar mungkin bermakna penambahan pendapatan daripada pelaburan ini adalah minimum.

Kenanga menurunkan sarananya ke atas TM kepada ‘berprestasi pasaran’ daripada ‘ berprestasi tinggi’ namun mengekalkan harga sasaran dipacu aliran tunai (DCF) pada RM3.95.

Public Investment mengekalkan penarafan ‘berprestasi rendah’ pada harga saranan RM3.60 ke atas TM.

AmInvestment mengekalkan saranan ‘simpan’ ke atas TM dengan DCF yang tidak berubah pada RM4.25. - BERNAMA