Menurut Affin Hwang Capital, pelancaran model kereta baharu dan kempen promosi akhir tahun dilihat akan menyumbang kepada jumlah jualan yang tinggi pada Disember ini.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan sektor automotif kekal baik didorong pertumbuhan perolehan pemain industri terlibat dan pe­ngukuhan ringgit berterusan justeru mengekalkan saranan overweight ke atas sektor itu.

“Pilihan sektor utama adalah UMW Holdings bagi Toyota, Bermaz Auto buat Mazda dan ke­dua-dua UMW dan MBM Resources bagi Perodua,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Pada November, Perodua menjual sebanyak 21,100 kenderaan, meningkat 26.9 peratus manakala jualan Januari hingga November mencapai 208,800 buah, mening­kat 13.1 peratus tahun ke tahun.

Affin Hwang Capital berpendapat Perodua akan melepasi sasaran 2018 jualan sebanyak 209,000 buah seterusnya kekal sebagai peneraju pasaran de­ngan pegangan pasaran seba­nyak 37.9 peratus.

Bagaimanapun, katanya, jumlah jualan Proton pada November lalu tidak berubah dari tahun ke tahun pada 4,800 buah disebabkan kekangan bekalan pada bulan itu.

“Jualan Proton berpotensi untuk meningkat pada Disember ini didorong pelancaran Proton X70 serba baharu ditambah pula dengan promosi akhir tahun dan sifar cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Sementara itu, jenama kereta asing menguasai pasaran Malaysia pada Jun hingga November dengan pegangan pasaran 51.3 peratus.

”Mazda terus merekodkan prestasi baik untuk bulan kelima berturut-turut dan kami percaya momentum jualan Mazda akan kekal sihat,” katanya.