Public Investment Bank (PIB) dalam nota kajiannya hari ini berkata cadangan itu akan menyebabkan kerugian besar kepada pengeksport minyak sawit Malaysia apabila duti keistimewaannya hilang berbanding rakannya dari Indonesia.

"Ini akan terus menekan inventori minyak sawit Malaysia pada bulan-bulan akan datang, memandangkan pengeluaran separuh kedua dijangkakan lebih tinggi mengikut musim," katanya. Firma penyelidikan itu berkata pada masa ini perbezaan harga antara minyak sawit Malaysia dan Indonesia adalah sebanyak lima peratus.

"Cadangan itu negatif kepada sektor minyak sawit Malaysia, yang sudah pun lemah disebabkan oleh prestasi harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah. Jika cadangan itu menjadi kenyataan, kami menjangkakan eksport yang lebih rendah ke India pada bulan-bulan akan datang," katanya.

India, pengimport minyak sawit terbesar di dunia, menyumbang 28 peratus daripada jumlah import minyak sawit Malaysia pada separuh pertama tahun ini.

Setakat ini tahun ini, harga purata MSM sebanyak RM1,980 setan, merosot 17.6 peratus tahun ke tahun. Unjuran sektor ini kekal neutral.- BERNAMA