Menurut Menteri Perusahaan Per­lada­ngan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, salah satu sebabnya kerana ada sesetengah negara menguatkuasakan cukai eksport kepada negara ahli dan dalam perjanjian nanti akan melihatkan tiada dikenakan cukai berkenaan.

Katanya, maka industri ini akan lebih kompetitif berbanding de­ngan pengeluar kelapa sawit yang tidak menyertai TPPA.

“Perkara sebegini jelas dilihat se­perti perjanjian perdagangan bebas (FTA) bersama Turki yang sedang berjalan, dalam beberapa bulan sahaja eksport telah meningkat hampir 200 peratus disebabkan penyerapan cukai dan perjanjian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Seminar dan Dialog Reach and Remind Friends of The Industry 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Setiausaha (Komoditi) kemente­ri­an, Datuk M. Nagarajan; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit, Datuk Dr. Choo Yuen May dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit, Tan Sri Dr. Yusof Basiron.

Mengulas lanjut, Douglas berkata, pendapatan eksport sektor kela­pa sawit tahun lalu sebanyak RM60 bilion yang agak menurun sedikit dari tahun sebelumnya manakala jumlah meningkat sedikit tahun lalu berbanding 2014.

Dalam pada itu, Douglas dalam ucapannya memberitahu, pihaknya sedang melihat kemungkinan pensijilan piawaian Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) untuk mewajibkannya yang pada masa ini adalah secara sukarela untuk manfaat industri dalam jangka panjang di negara.

“Sehubungan itu, kementerian me­nubuhkan Majlis Pensijilan Mi­nyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi memacu dalam mempromosikan MSPO dan memastikan ia diiktiraf antara negara-negara pengimport termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat yang mahukan persijilan kelapa sawit mapan.

“Saya berharap semua rakan-rakan utama industri termasuk pekebun kecil dapat bekerja secara kolektif untuk mempromosikan MSPO yang diterima sebagai penanda kepada persijilan kelapa sawit,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya sa­ma ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) nanti, Douglas memberitahu, beliau tidak tahu dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak mengatakan apa-apa kepadanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada bersedia kembali bertan­ding sekiranya diminta Ketua Mente­ri, Douglas enggan mengulas lanjut.