Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya, Spencer Ng berkata, ini kerana ia tidak memberi kesan material kepada penilaian kredit asas (BCA) TNB baa2 atau jangkaan berkemungkinan mendapat sokongan daripada kerajaan.

Katanya, BCA TNB dijangka kekal tidak berubah walaupun perubahan organisasi sebahagiannya melibatkan pentadbiran yang mana ia tidak akan memberi kesan kepada operasi asas kumpulan.

“Tidak termasuk mana-mana sahaja kos yang berkaitan de­ngan transaksi yang mungkin timbul, penstrukturan semula ini juga tidak mungkin memberi impak jangka panjang terhadap metrik kewangan TNB.

“Kami juga menjangkakan penyusunan semula yang dicadangkan tidak akan melemahkan kepentingan strategik TNB dalam sektor tenaga di Malaysia kerana ia akan kekal sebagai pemilik tunggal kepada transmisi dan saluran pengedaran di samping menjadi syarikat tenaga terbesar dari segi kapasiti yang dijana,” katanya.

Isnin lalu, TNB mengumumkan rancangannya untuk memindahkan penjanaan dan perniagaan peruncitannya kepada dua subsidiari milik penuh baharu.

Apabila selesai kelak TNB akan terus memiliki dan mengoperasikan transmisi, perniagaan pengedaran dan pelaburan antarabangsa kumpulan. TNB juga akan kekal sebagai pengurus dan operator sistem grid dan kuasa di Malaysia.

Tambah Ng, pihaknya percaya terdapat kemungkinan yang tinggi TNB akan mendapat sokongan daripada kerajaan pada bila-bila masa ia perlukan.

Jelasnya, ini menjadikan TNB dan profil kredit kerajaan akan terus menunjukkan tahap kebergantungan yang tinggi.

“Faktor-faktor ini membawa kepada kenaikan dua kali ganda terhadap penarafan TNB daripada baa2 kepada A3. Moody’s akan terus memantau perkembangan penstrukturan berke­naan termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan dan kesan kepada profil kredit TNB,” katanya.