Bank of Thailand (BoT) dalam kenyataannya berkata, lima daripada tujuh anggota Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang hadir dalam mesyuarat itu mengundi untuk mengurangkan kadar dasar daripada 1.75 peratus berkuat kuasa serta merta manakala dua lagi mahu kadar itu dikekalkan pada 1.75 peratus.

Setiausaha MPC, Titanun Mallikamas berkata, jawatankuasa itu menilai bahawa ekonomi Thailand akan berkembang pada kadar lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini berikutan penyusutan eksport barangan yang mula memberi kesan kepada permintaan domestik.

Beliau berkata, kadar inflasi yang diunjurkan lebih rendah berbanding sasaran inflasi ditetapkan.

“Kedudukan kewangan secara keseluruhannya kekal akomodatif. Sebahagian risiko kestabilan kewangan juta telah dapat diselesaikan walaupun masih ada risiko yang perlu dipantau.

“Pendirian dasar monetari yang lebih akomodatif akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan akan menyokong kenaikan inflasi teras ke arah sasaran. Kebanyakan anggota mengundi untuk mengurangkan kadar dasar dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Titanun berkata, dua daripada anggota MPC berpendapat pengurangan kadar dasar di bawah dasar monetari akomodatif sedia ada berkemungkinan tidak memberi sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi berbanding risiko kestabilan kewangan yang berpotensi untuk meningkat.

“Tambahan pula, perlu ada ruang bagi menjaga keperluan dasar,”katanya.

Mengenai kadar pertukaran, Titanun berkata, jawatankuasa itu melahirkan kebimbangan ke atas penyusutan baht berbanding mata wang rakan sedagang yang mungkin menjejaskan ekonomi ke tahap lebih tinggi di tengah-tengah perang perdagangan yang memuncak.

“Jawatankuasa akan memantau secara rapat kadar tukaran dan aliran modal selain menilai keperluan pendekatan tambahan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan berterusan memantau pembangunan seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan kewangan dan risiko-risiko yang berkaitan, khususnya kesan perang pertikaian perdagangan, dalam membincangkan dasar monetari yang bersesuaian pada masa akan datang.

“Ekonomi Thailand akan terus berdepan masalah struktur yang akan mempengaruhi daya saing dan unjuran pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini perlu diselesaikan oleh semua pihak berkaitan,” kata Titanun. - BERNAMA