MNC dalam kenyataannya berkata, secara mudahnya jika memiliki 10 saham MNC sebelum 6 Ogos (ex-date) tahun ini, pemegang saham layak mendapat satu langganan 50 ICPS baharu pada tiga sen sesaham daripada syarikat dan mereka juga akan menerima satu waran percuma apabila melanggan.

Menurutnya, nisbah penukaran seperti dua ICPS boleh ditukar kepada satu saham MNC pada bila-bila masa dalam tempoh 10 tahun.

“Sebagai alternatif, satu ICPS ditambah dengan bayaran tiga sen kepada pendaftar syarikat juga boleh ditukarkan kepada satu saham MNC. Hak langganan ini (MNC-PR) akan dikreditkan ke dalam akaun pada 8 Ogos dan boleh didagangkan sehingga 20 Ogos depan.

“Merujuk kepada senario satu di halaman terakhir laporan SJ Securities, pelanggan terbitan hak mungkin boleh mendapat pulangan dengan menggunakan pilihan tunai ICPS.

“Pemegang ICPS boleh menukar satu ICPS kepada satu saham MNC dengan membayar sebanyak tiga sen lagi kepada pendaftar syarikat yang mana ia memberi nilai intrinsik kepada ICPS bahawa satu saham MNC bernilai kurang dari tiga sen,” katanya di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, secara teorinya ICPS sepatutnya bernilai lima sen sementara MNC bernilai lapan sen.

“Pada harga langganan tiga sen sesaham, pemegang ICPS akan mendapat pulangan langganan ICPS sebanyak 66.67 pe­ratus. Begitu juga nilai saksama ICPS sepatutnya 4.6 sen apabila MNC adalah 7.5sen dan pada harga langganan tiga sen pemegang ICPS akan membuat pulangan 50 peratus atas langganan ICPS,” jelasnya.

Sementara itu, MNC berkata, Interpacific Securities pada minggu lalu turut mengeluarkan laporan yang hampir sama berhubung pengiraan.

“Antara ciri yang menarik adalah penukaran setiap ICPS boleh dilaksanakan melalui pilihan tunai bersama ICPS.

Dalam melaksanakan pilihan ini dengan andaian sebanyak lima ICPS merangkap pemegang saham setiap saham MNC layak mendapat manfaat satu sen bagi setiap ICPS dan harga saham MNC meningkat kepada tujuh sen,” katanya.

Bagi melanggan ICPS, para pelabur mesti memiliki sama ada saham MNC sebelum ex-date atau membeli hak pada dagangan bermula 8 Ogos hingga 20 Ogos 2019.

Pelanggan yang layak boleh memohon lebihan ICPS yang tidak dilanggan. Masa dan tarikh akhir untuk penerimaan serta pembayaran dan permohonan terbitan hak dengan waran dan pembayaran adalah pada pukul 5 petang Rabu, 28 Ogos 2019.