Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada Tekun Nasional untuk membantu golongan tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, penambahan dana sebanyak RM40 juta telah disalurkan kepada usahawan.

“Kita memberi tambahan RM40 juta kerana kita berjaya mengutip RM160 juta sehingga 30 April tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mood Republik - KL Raya Fest 2019 di sini hari ini.

Kadar bayaran balik pinjaman usahawan Tekun Nasional dilaporkan meningkat 20 peratus selepas mekanisme penjadualan semula diperkenalkan sejak Ogos tahun lepas.

Bagi memacu pembangunan usahawan Tekun, Mohd. Redzuan berkata, kementerian berhasrat untuk memperluaskan rangkaian Tekun untuk mengurangkan peranan orang tengah antara pengguna dan pengeluar.

“Kita sudah membuka cawangan pertama di Terminal Bandar Selatan dan kita merancang untuk membuka cawangan di Pantai Timur, Selangor dan Johor.

“Kita akan memantau sambutan yang diterima nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang mempertimbangkan langkah menjadikan penganjur Mood Republik sebagai rakan strategik untuk membangunkan usahawan.

“Kita akan melihat cadangan ini secara menyeluruh terutamanya untuk membantu syarikat pemula niaga,” katanya.

Mood Republik yang telah dianjurkan sejak 2014, menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta pada tahun ini.

Acara itu telah berjaya meraih jualan sebanyak RM500 juta sejak ia mula diperkenalkan.

“Pada tahun ini, Mood Republik menyasarkan tiga juta pengunjung dalam tempoh 72 jam,” katanya. -BERNAMA