Waktu puncak ialah waktu paling banyak kenderaan di jalan raya dan paling banyak pengguna kenderaan awam serta sering mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Kebiasaannya berlaku pada waktu pagi dan petang.

Ramai pengguna mengeluh kerana terpaksa membayar kadar tambang yang tinggi untuk jarak perjalanan yang dekat. Tambahan pula syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab memberi bayangan tambangnya pada waktu puncak akan naik kerana kekurangan pemandu berikutan masih ramai yang belum memiliki lesen PSV.

Bagaimanapun, kerajaan memberi penangguhan selama tiga bulan melalui pendekatan ‘soft-landing’ untuk pemandu e-hailing memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Jika tidak sudah pasti pengguna akan terbeban dengan kenaikan tambang berkenaan.

Walaupun berbaki tiga bulan sebelum penguatkuasaan bermula, sudah ada rungutan daripada pengguna terutama di Lembah Klang tentang kenaikan kadar tambang sehingga 100 pera­tus pada waktu puncak.

Tingkah laku pengguna

Kenaikan kadar tambang pada waktu puncak bukan sahaja berlaku di Malaysia atau melibatkan Grab sahaja. Syarikat e-hailing lain seperti Uber turut mengenakan tambang yang tinggi pada waktu tersebut.

Menurut laporan portal Forbes.com, Uber menggunakan data serta kepintaran buatan (AI) yang berupaya menentukan kesanggupan pengguna membayar pada harga yang tinggi.

Tambahan pula Uber boleh mengetahui sekiranya telefon pengguna semakin kehabisan bateri. Ketika kecemasan pengguna sanggup melakukan apa sahaja untuk sampai ke destinasi de­ngan pantas. Oleh itu, corak algoritma kesanggupan pembayaran kadar tambang banyak dipengaruhi oleh gelagat pengguna.

Sementara itu, perkhidmatan e-hailing menggunakan motosikal di Indonesia, GoJek pernah melakukan ujian percubaan selama tiga hari pada Mei untuk menaikkan kadar tambang dan mendapati pendapatan syarikat menurun dengan ketara susulan permintaan yang berkurangan.

Tindakan itu hampir menyebabkan mogok oleh penunggang GoJek, tetapi hasrat tersebut dibatalkan apabila syarikat menurunkan semula tambang kepada tarif asal. Kuasa pengguna mampu mengubah model perniagaan sesuatu syarikat.

Tawaran dan permintaan

Seperti membeli barang ke­perluan, jika terdapat lambakan produk harganya akan jatuh tetapi sebaliknya berlaku jika kuantitinya terhad. Pada waktu puncak tidak ramai pemandu yang sanggup meredah kesesakan lalu lintas walaupun destinasi yang dituju adalah dekat.

Akibatnya, jumlah pemandu yang berada di jalan raya sedikit berbanding permintaan orang ramai dan waktu menunggu bertambah. Mekanisme penawaran dan permintaan mula memainkan peranan yang mengakibatkan kadar tambang naik dengan mendadak, tetapi akan kembali normal selepas beberapa ketika.

Bagaimanapun, tambang e-hailing juga dilihat semakin meningkat selain waktu puncak. Baru-baru ini Jawatankuasa Pemantauan Ekonomi Rakyat (Pantau) menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan isu tambang Grab yang dikatakan naik secara mendadak.

Isu itu dilihat tidak selari de­ngan kenyataan syarikat berke­naan yang berjanji tidak akan menaikkan harga tambang walaupun bergabung dengan Uber pada Mac 2018.

Banding dan buat pilihan terbaik

Rancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan membayar tambang yang tinggi. Jangan mulakan perjalanan pada waktu puncak jika tiada keperluan.

Jika terpaksa keluar juga, sila buat perbandingan tambang dahulu antara kesemua penyedia perkhidmatan e-hailing. Pelbagaikan akaun e-hailing berban­ding satu akaun sahaja supaya dapat memilih perkhidmatan mana yang lebih murah.

Cari alternatif pengangkutan awam lain yang terdekat se­perti bas, teksi, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KTM Komuter. Setiap pengangkutan awam yang disediakan memiliki kelebihannya yang tersendiri, namun terpulang pada diri sendiri untuk memilih mana yang menepati keperluan semasa.

Kesimpulannya, pengguna diberikan pilihan dan mempu­nyai pilihan. Gunakannya hak itu dengan sebaiknya.