Ketua Pegawai Eksekutif Maj­lis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Erhanfadli Mohd. Azrai berkata, pemilikan hartanah adalah antara penunjuk utama tahap kekayaan individu dan syarikat berbanding bergantung kepada pendapatan semata-mata.

Katanya, secara dasar­nya, tidak ada faktor ha­langan untuk bumiputera memiliki hartanah walaupun ia memerlukan modal, malah kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan dalam pemilikan hartanah melalui instrumen polisi dalam pemilikan hartanah seperti rizab Melayu dan lot bumiputera.

“Jika kita bandingkan gaji yang secara purata hanya berkembang pada lapan peratus, pulangan daripada pelaburan dalam perniagaan sebanyak 15 peratus serta pulangan pelaburan instrumen kewangan mencapai lapan peratus setahun, ini jelas menun­jukkan perkembangan gaji jauh lebih lambat daripada cara pengembangan kekayaan lain kerana gaji bergantung kepada jumlah masa bekerja yang terhad.

“Kekangan hakiki untuk pemilikan hartanah ialah kurang penjanaan kekayaan secara meluas. Bagaimana kita mahu mengejar dan berada di hadapan dalam perlumbaan jika kita masih berjalan kaki sedangkan orang lain sedang berlari?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tahun lalu, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan merekod­kan pemilikan hartanah bumiputera masih ketinggalan berbanding bukan bumiputera pada 2014 dengan nisbah transaksi pembelian sebanyak 39.5 peratus manakala bukan bumiputera ialah 53.4 peratus dan baki 7.1 peratus ialah daripada syarikat.

Bagi meningkatkan pemilikan hartanah komersial, kerajaan menerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memperkenalkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dengan saiz dana terkini sebanyak 3.5 bilion unit.

Selain itu, golongan bumiputera juga mempunyai pilihan untuk melabur dalam Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang ditawarkan oleh 17 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Menurut Erhanfadli, REIT dan AHB adalah instrumen kewangan dalam sektor hartanah yang perlu diberi perhatian dan ia dapat meningkatkan pemilikan hartanah komersial dengan dua cara.

“Cara pertama ialah melalui nilai penyertaan yang rendah ke­rana seunit milikan adalah bernilai RM1 atau REIT yang diniagakan di Bursa Malaysia dengan nilai satu lot 100 unit pada harga RM100 misalnya. Ini membolehkan orang ramai dengan modal yang kecil menyertai skim ini dengan mudah. Saya fikir ini merupakan skim yang baik dan patut digalakkan.

“Cara kedua, REIT dan AHB juga membolehkan para pelabur hartanah mempelbagaikan pegangan hartanahnya. Dalam portfolio hartanah REIT, ada pelbagai jenis hartanah seperti pusat beli-belah, bangunan pejabat, hotel dan tanah kosong. Lebih banyak penyertaan dalam unit-unit ini membolehkan pihak pengurusan membeli atau membina lebih banyak ruang-ruang perniagaan atau pejabat,” katanya.

Tiga cara kumpul 
modal miliki hartanah

* Daripada simpanan 
setiap bulan iaitu 
gaji 
yang 
diperoleh

* Melalui 
pulangan 
daripada mengambil risiko berniaga atau keuntungan 
daripada
 perniagaan

* Melalui 
pulangan daripada
 instrumen pelaburan kewangan 
atau hartanah 
itu sendiri