Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima serahan bayaran zakat tersebut daripada Pengurus Besar (Simpanan dan Pengeluaran) Tabung Haji, Mohd Ridzuan Wahi.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Mohd Haidi Sulaiman; Ketua Pegawai Teknologi Tabung Haji, Shamsul Kamal Hussein Kamal dan Pengarah Tabung Haji negeri, Rozimin Ahamed Kamil.

Mohd Ridzuan dalam satu kenyataan memaklumkan, bayaran zakat Tabung Haji bagi negeri Perak mencatatkan peningkatan sebanyak 27.6 peratus berbanding RM4.5 juta pada tahun 2017.

“Setiap tahun, sebagai sebuah organisasi Islam, Tabung Haji melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dengan sasaran untuk memperkasa kewangan Islam serta pembangunan sosio-ekonomi ummah.

“Tabung Haji berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh MAIPk ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Perak bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf,” katanya.

Jumlah keseluruhan bayaran zakat Tabung Haji pada 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus mencecah RM85.57 juta berbanding RM67.61 juta pada tahun 2017. - UTUSAN ONLINE