Menurut laporan Nikkei Asian Review, China Railway Group Ltd. berhasrat untuk memulakan se­mu­la Bandar Malaysia, sebuah pembangunan bercampur de­ngan berpusatkan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Sejak (Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih pimpinan, beliau telah menyatakan hasrat untuk meneruskan Bandar Malaysia di masa hadapan,” kata Pengerusi China Railway Group, Li Changjin dalam satu persidangan semalam.

Beliau berkata, syarikat itu sedang ‘mempertimbangkan’ untuk menghidupkan semula projek terbabit, selepas terhenti bersama dengan rancangan pembinaan landasan kereta api berkenaan.

China Railway Group turut berkata, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), sebuah projek yang dibiayai oleh China berjumlah AS$13 bilion (RM49.79 bilion) yang digantung sejak Julai, tidak `mati’ meskipun dibantah oleh Tun Mahathir.

“Bagi masa depan ECRL, ia masih di bawah rundingan,” kata Ketua Perniagaan Luar Negara China Railway Group di Hong Kong. Beijing terlibat dalam perbincang­an itu, tambah Changjin. Ran­ca­ngan asal adalah untuk membina landasan kereta api di Semenanjung melalui Kuala Lumpur.

Komen-komen itu muncul ketika hubungan antara Beijing dan Kuala Lumpur diuji. Apabila Perdana Menteri mengambil alih semula kuasa pada Mei, beliau berjanji untuk mengkaji semua pelaburan China yang ditandatangani oleh kerajaan lama pim­pinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Mahathir turut mempersoalkan sama ada perjanjian terbabit memberi manfaat kepada Malaysia serta sama ada negara ini mampu atau tidak.

Bulan lepas, Mahathir membuatkan pemegang saham pemba­ngunan Forest City bernilai AS$100 bilion (RM414.9 bilion) dalam kebingungan apabila tidak membenarkan warga asing membeli rumah di dalam projek yang akan dibina di sebuah pulau buatan itu.

“Kami percaya apabila kerajaan Malaysia membuat keputusan, mereka akan mengambil kira manfaatnya kepada negara itu serta hubungan antara China dan Malaysia,” kata Changjin. “Kami berharap dapat melihat keputusan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.”

Sementara itu, syarikat-syarikat China juga sedang berusaha mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) oleh Presiden, Xi Jinping, sebuah program infrastruktur untuk membina rangkaian laluan darat dan laut di seluruh Asia dan Asia Barat.

Keraguan tentang projek BRI itu semakin memuncak sejak Sri Lanka menyerahkan pelabuhan Hambantota yang strategik kepada China dengan pajakan selama 99 tahun sebagai cara untuk membayar hutangnya.

Ramai bimbang projek-projek yang dibiayai oleh China akan membuatkan negara-negara peserta terhutang.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde berkata pada April, walaupun terdapat ba­nyak negara yang memerlukan infrastruktur, ‘usaha sama juga boleh menyebabkan peningkatan hutang yang sangat bermasalah, berpotensi untuk membataskan perbelanjaan ketika hutang me­ningkat, dan membawa kepada cabaran imbangan pembayaran’.

Negara-negara seperti Malaysia, Nepal dan Myanmar telah membatalkan atau menghentikan projek berkaitan BRI dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, meskipun kerajaan masing-masing tidak membantah inisiatif itu secara terbuka. Bagi separuh pertama 2018, kontrak baharu bagi projek-projek daripada negara di sepanjang BRI te­lah menurun 33.1 peratus kepada AS$47.79 bilion (RM198.3 bilion).