Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, pelaburan langsung asing China dalam sektor perkilangan di Malaysia telah meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas dan menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor itu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Kami percaya menerusi sinergi antara semua pihak, kerjasama BRI pasti akan menjadi lebih mendalam, stabil dan meluas.

“Jalur dan Jalan akan menjadi jalan perdamaian serta kemakmuran dan pada masa sama membuka pembangunan hijau, inovasi, menghubungkan tamadun dan kerajaan yang bersih,” katanya pada Forum Tinjauan Malaysia-China 2019 di sini hari ini.

Memetik beberapa contoh, Bai Tian berkata, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China dirujuk sebagai Taman Berkembar Dua Negara sementara projek lain seperti Kereta api Gemas-Johor Bahru yang berjalan lancar.

Selepas rundingan mesra, Laluan Rel Pantai Timur juga akan diteruskan.

China Railway Rolling Stock Corp. telah menubuhkan kilang gerabak di Perak yang dilengkapi teknologi canggih serta kapasiti pengeluaran terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Proton juga kini semakin hampiri untuk membuat keuntungan hanya selepas setahun bekerjasama dengan Geely China. - BERNAMA