Pengarah Eksekutif Sunway City Ipoh, Wong Wan Wooi berkata, projek berkenaan diilhamkan untuk menjadi sebuah suite perkhidmatan pertama di Asia yang mengintegrasikan kolam air panas semula jadi dalam kawasan pembangunan yang terdiri daripada tiga blok menara de­ngan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) melebihi RM400 juta.

“Harga Sunway Onsen Suites bermula daripada RM392,600 sebuah. Terdapat tiga pilihan iaitu studio, dua bilik tidur dan tiga bilik tidur yang berkeluasan antara 592 kaki persegi hingga 1,184 kaki persegi. Selain itu, terdapat juga enam vila mewah iaitu Onsen Villas dengan keluasan bermula 2,712 kaki persegi.

“Dengan menggunapakai model perniagaan unik Sunway iaitu Bina-Miliki-Operasi, tingkat tujuh hingga lima belas Sunway Onsen Suites akan diuruskan oleh Sunway Lost World Hotel khusus untuk para pelabur yang mahukan pelaburan tanpa sebarang kerumitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Blok menara pertama itu mempunyai 252 buah suite perkhidmatan.

Projek tersebut terletak dalam kawasan pembangunan bersepadu dengan GDV bernilai RM2 bilion yang merangkumi kawasan seluas 12.54 hektar yang akan terdiri daripada Lost World Mall, pusat perubatan, penempatan dengan kemudahan kolam air panas serta komponen-komponen pendidikan tambahan.

Mengenai peningkatan pelancong ke Perak, Wan Wooi berkata, Sunway telah menyiapkan pembangunan tambahan 20 buah vila di The Banjaran Hotsprings Retreat dan sebuah tarikan waktu malam terbaharu dalam taman tema yang dinamakan Luminous Forest di Lost World of Tambun.

“Kami akan terus menyokong usaha-usaha pelancongan negeri pada tahun-tahun akan datang menerusi pembangunan produk-produk pelancongan dan kerjasama aktif dengan badan-badan promosi pelancongan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Wooi berkata, Sunway Property akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM4 bilion di Sunway City Ipoh dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

“Kami telah menyiapkan kira-kira 70 peratus daripada sejumlah 546.33 hektar pembangunan dan telah melabur sebanyak RM700 juta setakat ini,” katanya.