Presidennya, R. Meenakshi berkata, SAM mendapati masalah itu bukan hanya disebabkan oleh pencerobohan nelayan asing tetapi kerana aktiviti pencerobohan bot pukat tunda tempatan di kawasan nelayan pantai.

Menurut beliau, kelemahan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 adalah antara sebab ancaman yang berlarutan sejak tahun 60-an itu masih berterusan.

R. MEENAKSHI
R. MEENAKSHI 

Jelasnya, di samping pukat tunda yang membunuh anak-anak ikan (benih), penggunaan pukat sorong, pukat siput, pukat kisa, pukat apollo dan bubu naga juga menyebabkan dasar laut tercemar dan benih ikan tidak dapat membiak.

“Penyumbang lain kepada masalah ini ialah kemusnahan hutan paya bakau, kerja-kerja penambakan laut, pencemaran sisa kimia dan penggunaan bahan terlarang seperti tuba dan arus eletrik.

“Projek akuakultur misalnya bukan sahaja memusnahkan hutan paya bakau dengan meluas tetapi juga mendorong kepada peningkatan tangkapan anak ikan (ikan baja) sebagai makanan ternakan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Meenakshi, bagi memulihkan keadaan sumber perikanan yang semakin meruncing, SAM mencadangkan supaya tindakan bersepadu dilakukan oleh semua jabatan serta agensi yang terlibat.

Katanya, peralatan tangkapan yang mengancam sumber perikanan terutama pukat tunda perlu diharamkan penggunaannya dalam sektor perikanan di negara ini.

Selain itu, tambah beliau, projek pembangunan yang melibatkan kawasan pembiakan hidupan laut dan hutan paya bakau perlu dihentikan.

“SAM kesal berikutan ancaman ke atas sumber perikanan yang berlaku ini, hasil tangkapan nelayan pantai telah merosot melebihi 50 peratus setiap kali turut ke laut dan keadaan itu sekali gus menjejaskan kehidupan golongan berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE