Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed berkata sumbangan serendah RM10 boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi SnapNPay di Google Store atau App Store secara percuma.

“Sumbangan wakaf tidak terhad kepada pelanggan Bank Islam sahaja malah boleh dibuat di 17 bank lagi di Malaysia yang mempunyai kod QR dengan enjin FPX, selain kaedah konvensional seperti perbankan Internet,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan zakat perniagaan Bank Islam kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM131,678.21 bagi tahun berakhir 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Kerajaan Perlis Azman Mohd Yusof.

Mohd Muazzam berkata lebih RM1.2 juta telah dapat dikumpul melalui program myWakaf dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan orang ramai lebih suka menggunakan teknologi yang cepat dan cekap.

Dalam pada itu, katanya Bank Islam akan terus menggalakkan orang ramai melanggan produk simpanan Al-Awfar yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada mereka.

Katanya Bank Islam telah melahirkan seramai 23 jutawan melalui produk itu sejak diperkenalkan pada 2009 dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 40 jutawan dalam tempoh 10 tahun.

Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah. Dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada untuk memastikan pelaburan yang kukuh dan terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

Bank Islam menyediakan hadiah cabutan istimewa setengah tahun antaranya kereta Mercedes C200 Advantgarde, Honda Civic, pakej percutian atau umrah dan telefon pintar kepada pelanggan Al-Awfar. - BERNAMA