Turut berangkat ke majlis sambutan berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Duta Besar Jepun di Malaysia, Dr. Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor China and Asia Region, Tatsuro Ueda dan Pengerusi UMW Toyota Motor (UMW Toyota Motor) Sdn. Bhd., Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut ber­kenan melawat ruang pameran sambutan 50 tahun dan kilang seluas 67 hektar yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh UMW Toyota Motor iaitu Assembly Services Sdn. Bhd.

Kilang berkenaan yang mula beroperasi sejak 2 Januari lepas merupakan kilang pemasangan kenderaan kedua syarikat automotif itu selain di Shah Alam.

Terdahulu, Hamad Kama Piah dalam sembah ucapannya berkata, banyak peristiwa bersejarah tercatat sepanjang 50 tahun pengeluaran kenderaan jenama Toyota di negara ini malah ia juga menunjukkan jalinan hubungan diplomasi yang baik antara Malaysia dan Jepun.

Katanya, sejak UMW Toyota Motor mengeluarkan kereta pertama jenis Toyota Corolla pada 1968 secara pemasangan di kilang tempatan, kilangnya yang kemudian dikendalikan oleh ASSB telah menghasilkan 1.5 juta kenderaan sehingga kini.

“Malah, kilang pemasangan ASSB juga antara kilang pemasangan terbesar di negara ini. Pertumbuhan sektor automotif ini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dalam pelbagai bidang.

“Reputasi yang tinggi dari segi ketahanan produk dan kebolehpercayaan menjadikan kenderaan dari Jepun sentiasa mendahului jenama lain. Perkara ini dicapai menerusi pelbagai inovasi untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti,” katanya.– BERNAMA

Tambah beliau, saban tahun, nama Toyota terus dikenali dan dipercayai sehingga menjadikannya jenama kenderaan pilihan rakyat tempatan dan perkara itu menggalakkan lagi syarikat berkenaan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran semasa demi memenuhi pertumbuhan pasaran.

Katanya, keputusan untuk membina kilang kedua di kawasan perindustrian Bukit Raja pada 2016 dilihat mampu meningkatkan pengeluaran kenderaan syarikat itu selain ia merupakan aset terpenting bagi mencapai hasrat Toyota untuk terus menawarkan kenderaan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Kilang pemasangan terbaharu di Bukit Raja yang juga dikendalikan oleh ASSB itu disasar mampu mengeluarkan 50,000 unit kenderaan setahun yang mana buat masa ini, kereta jenis Toyota Vios serta Toyota Yaris dihasilkan di kilang tersebut.– BERNAMA