Ketua Pegawai Eksekutif RAM Consultancy Services Sdn. Bhd. (RAMC), Promod Dass berkata, sukuk mampan yang dicadangkan itu mempunyai penarafan kredit, penarafan manfaat kepada alam sekitar dan penarafan manfaat kepada sosial.

Menurut beliau, sukuk SRI Edra Solar merupakan urus niaga pertama yang diberi penarafan Manfaat kepada Sosial RAMC dan menyumbang kepada inovasi yang seterusnya dalam kewangan mampan.

"Bon sosial/penilaian sukuk RAMC mewakili penilaian kuantitatif dan kualitatif sumbangan projek kepada penyelesaian sosial yang berpotensi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, RAMC mempertimbangkan kepentingan strategik projek itu dan manfaat sosial dari segi langsung dan boleh diukur manakala skala, kualiti dan tempoh projek itu juga menjadi elemen utama dalam kriteria RAMC.

Jumaat lepas, RAM Ratings memberikan penarafan kredit AA2/Stabil awal kepada cadangan sukuk mampan itu.

Pada masa sama, RAMC yang juga penyedia analisis perkhidmatan kemampanan serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memberikan penarafan Manfaat kepada Alam Sekitar Tahap-1 (Tier-1 EB) dan Manfaat kepada Sosial Tahap-3 (Tier-3 SB) kepada cadangan terbitan itu. - BERNAMA