Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk CJ Khor.

Perolehan bagi suku itu, bagaimanapun meningkat kepada RM1.34 bilion daripada RM925.97 juta sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih pemaju hartanah itu merosot kepada RM191.55 juta berbanding RM504.23 juta pada tahun sebelumnya manakala perolehan meningkat kepada RM2.20 bilion daripada RM1.58 bilion.

“Di tengah-tengah keadaan makroekonomi yang tidak menentu dan pasaran hartanah suram yang berpanjangan, kumpulan itu telah menyemak semula secara berhati-hati sasaran jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada RM4.55 bilion daripada RM5.65 bilion, yang diselaraskan dengan keadaan pasaran semasa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan kepelbagaian perancangan yang telah disusun dan bakal dilancarkan, serta pelanjutan kempen pemilikan rumah, kumpulan yakin mampu mencapai sasaran jualan disemak semula iaitu RM4.55 bilion, katanya.

Pelancaran yang dirancang berkenaan akan memberi tumpuan pada Lembah Klang dengan pelancaran bernilai RM2.32 bilion dan Johor bernilai RM776 juta.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, SP Setia telah meraih jualan RM1.98 bilion, dengan projek tempatan menyumbang 87 peratus atau RM1.71 bilion daripada jumlah jualan.

Jualan daripada projek tempatan yang diraih kebanyakannya daripada kawasan tengah iaitu berjumlah RM1.19 bilion manakala kawasan selatan dan utara menyumbang gabungan jualan berjumlah RM522.0 juta.

Bagi projek antarabangsa, UNO Melbourne di Australia dan Daintree Residence di Singapura menyumbang jualan RM222 juta.

Bagi separuh pertama tahun ini, kumpulan kekal berhati-hati dengan projek dilancarkan dan menumpukan pada projek betul untuk memenuhi keadaan pasaran, manakala projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.55 bilion telah dilancarkan.

Ia berkata beberapa projek terdiri daripada sebahagian besarnya hartanah bertanah mencatatkan prestasi cemerlang.

Diterajui 46 projek yang sedang dilaksanakan dengan baki simpanan tanah efektif seluas 3,796.36 hektar dan potensi GDV sebanyak RM144.52 bilion, prospek masa depannya kekal positif dengan jumlah jualan belum dibilkan sebanyak RM10.67 bilion setakat 30 Jun 2019. - BERNAMA