Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, kerjasama dengan TM akan membolehkan SME Bank mendapat akses kepada infrastruktur serta perkhidmatan digital TM seperti internet berkelajuan tinggi, pusat data dan pengkomputeran awan yang akan membolehkan SME Bank meneroka penyelesaian digital untuk keperluan pembiayaan PKS.

Katanya, selain menjadi rakan teknologi kepada rangka tindakan ekonomi digital SME Bank, TM juga akan menyumbangkan tenaga kerja pakarnya seperti saintis data dan arkitek program untuk membimbing usahawan PKS dalam transformasi digital mereka.

“Kerjasama bersama Commerce.Asia pula akan mening­katkan keupayaan Platform Digital PKS Kebangsaan melalui akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia di samping akses kepada ekosistem teknologi e-dagang yang lengkap.

“Ini akan melengkapkan fasa pertama pembinaan Platform Digital PKS Kebangsaan yang mana, kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk menganalisis prestasi dan kesediaan PKS serta merangka satu pelan tindakan yang akan dapat menyokong pertumbuhannya,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Aria Putera, Platform Digital PKS Kebangsaan itu merupakan satu usaha SME Bank yang menyeluruh dan merupakan penyelesaian untuk bank menjadi peneraju dalam ekosistem PKS yang berteraskan gelombang Revolusi Industri 4.0.

“Platform ini akan memberikan kami keupayaan untuk membuat keputusan berasaskan data dan pengurusan portfolio yang lebih baik.

“Kami mahu menjadi pe­neraju dalam pembangunan PKS tempatan. Dengan Platform Digital PKS Kebangsaan ini, ia akan mengubah cara PKS dibantu dan dibangunkan. Inisiatif ini dijangka akan memacu sumbangan mereka terhadap ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu Pemangku Naib Presiden Eksekutif, unifi, TM, Moharmustaqeem Mohammed berkata, kerjasama itu adalah sejajar dengan misi syarikat telekomunikasi tersebut untuk membantu mempercepatkan transformasi negara ke arah negara digital.

“Peluang untuk membantu, membimbing dan memajukan ribuan perusahaan kecil dan mikro merupakan aspirasi TM sejak dahulu lagi, seiring dengan sumbangan PKS dalam memacu ekonomi negara. Penyelesaian digital kami akan membolehkan para usahawan ini meningkatkan pencapaian dan memangkin pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

HABIS