Pengedar kereta itu mewakili jenama BMW, MINI, Volkswagen, Jaguar serta Land Rover dan pengambilalihan itu dijangka selesai pada awal Disember 2019.

Trivett adalah unit runcit automotif Inchcape Australia Ltd.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors Australia and New Zealand, Patrick McKenna berkata, cadangan pelaburan itu adalah sejajar dengan strategi syarikat untuk berkembang menerusi penggabungan dan pengambilalihan, menyasarkan segmen mewah runcit dan golongan mewah, terutama di pasaran besar seperti Australia.

“Penambahan pengedar ini ke dalam operasi Porsche Parramatta sedia ada akan mengembangkan skala kami dalam perniagaan mewah runcit di satu daripada lokasi runcit automotif paling popular Sydney,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan pengumuman pembelian Gough Group yang berpangkalan di New Zealand, McKenna berkata, pengambilahan tersebut menunjukkan komitmen jangka panjang kumpulan di Australasia.

Pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan tertakluk kepada kelulusan Foreign Investment Review Board of Australia.

Ia akan menambahkan jenama Volkswagen, Jaguar dan Land Rover kepada senarai jenama kereta diedarkan Sime Darby di Australia, yang diuruskan Sime Darby Motors.

- BERNAMA