Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, urusniaga Gough Group akan menjadi yang terbesar bagi konglomerat itu sejak penyusunan semula pada 2017.

Katanya, urus niaga itu dijangka selesai pada 30 September 2019.

“Ia menyediakan peluang luar biasa kepada kami untuk mempertingkat hubungan dengan Caterpillar dan menerima pendedahan dalam sektor pembinaan dan perhutanan di New Zealand dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Sime Darby Industrial di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Sime Darby (NZ) Holdings Limited, syarikat itu memeterai perjanjian pembelian saham dengan Gough Group untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Gough Group bernilai NZ$211 juta (RM572 juta).

Urus niaga tersebut akan dibiayai sepenuhnya daripada pinjaman bank, berasaskan secara tanpa tunai dan bebas hutang dan bergantung kepada kelulusan Pejabat Pelaburan Luar Negara New Zealand dan syarat penyelesaian biasa.

Gough Group yang berpangkalan di New Zealand mempunyai pengedaran Caterpillar dan perkhidmatannya di negara ini serta kepentingan dalam perniagaan pengangkutan dan pengendalian bahan di New Zealand dan Australia.

Portfolio pengangkutan dan pengurusan bahan Gough Group akan melengkapkan perniagaan trak komersial Sime Darby Motors di New Zealand, membolehkan pertumbuhan dalam operasi selepas jualan dan memperluas rangkaian francais, khususnya memperkukuh kedudukan di Australasia.

Gough Group meningkatkan perolehannya melebihi 18 peratus pada 2018 kepada NZ$540 juta (RM1.46 bilion) berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh peningkatan jualan bagi Caterpillar serta perniagaan pengangkutan dan pengendalian bahan. - UTUSAN ONLINE