GDV platform ganjaran itu berkembang 77 peratus pada H1 2019 berbanding 2 peratus yang direkodkan pada H2 2018, kata Pengurus Besar Negara, Eddy Han.

Bercakap pada taklimat media hari ini, beliau berkata, edisi kedua pesta membeli-belah dalam talian, ShopFest membabitkan enam acara utama jualan dalam talian dari September hingga Disember iaitu 9.9, #MYCyberSale, 11.11, Black Friday, 12.12 dan Jualan Akhir Tahun.

Sepanjang ShopFest 2018, tiga kategori iaitu pasaran, fesyen dan perjalanan menyaksikan trafik tertinggi dari seluruh dunia di lokasi Shopback beroperasi, kecuali Australia.

Segmen pasaran, termasuk platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee, mencatatkan 10 juta transaksi sepanjang ShopFest 2018, manakala segmen fesyen dan perjalanan masing-masing menyaksikan sejuta barangan dijual dan 1.4 juta bilik ditempah.

“Malaysia antara negara penyumbang utama dalam kalangan tujuh negara (tempat kami beroperasi),” kata Han.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik ShopBack, 90 peratus daripada 1,200 responden menyatakan hasrat mereka untuk membuat pembelian semasa jualan dalam talian akhir tahun, dengan fesyen, kecantikan dan makanan tambahan, serta rumah dan kehidupan merupakan tiga kategori utama.

Empat puluh peratus daripada bakal pembeli merancang membelanjakan antara RM51 dan RM150 sepanjang tempoh itu, manakala 32 peratus bersedia membelanjakan sehingga RM500.

Han berkata, ShopBack akan memberikan 1.5 juta baucar dan pengembalian tunai sebanyak RM20 juta sebagai hadiah belanja dalam talian semasa ShopFest 2019.

Pengasas bersama ShopBack Malaysia, Sharmeen Looi berkata, pada hari-hari biasa kebanyakan urusniaga berlaku selepas makan tengah hari dan makan malam, manakala semasa kempen besar, waktu sibuk adalah antara 12 pagi hingga 2 pagi.

“Ini baik untuk kami kerana kami tahu bila untuk melancarkan kempen dan kami mengetahui tingkah laku pembeli. Peniaga cenderung menawarkan lebih banyak promosi antara 12 pagi dan 2 pagi,” katanya.

Pada masa ini lebih 1.5 juta rakyat Malaysia menggunakan ShopBack. - BERNAMA