Usaha kerjasama itu adalah antara anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik Sdn. Bhd. dan unit Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, PKNM Energy Sdn. Bhd. (PKMNE).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Mohd. Karim Abdullah berkata, kerjasama itu akan mengembangkan operasi syarikat tersebut di Melaka selain projeknya di Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Kami mengadakan dua pusingan perbincangan dan kami telah mengenal pasti beberapa projek. (Sekarang) Kami perlu mendalami dan memahami semua maklumat dalam pusingan pertama perbincangan dan memperhalusi aspek teknikal dan komersial serta selaras dengan dasar mereka sebagai kerajaan negeri.

“Harapnya kami dapat melancarkan sesuatu dalam masa enam bulan dari sekarang yang mana kami amat yakin bahawa ia boleh dilaksanakan kerana Melaka adalah negeri yang mempunyai pembangunan yang rancak,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan PKNME di sini hari ini.

Sementara itu, Serba Dinamik memperoleh enam kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta satu kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian di Malaysia dan Qatar melalui Serba Dinamik International Ltd. dan Serba Dinamik Sdn. Bhd..

Kontrak O&M yang diperoleh di Qatar dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM250.62 juta) manakala kontrak yang diperoleh di Malaysia tidak mempunyai nilai khusus kerana ia berdasarkan kepada panggilan kerja bermaksud arahan kerja akan diberikan mengikut budi bicara pelanggan.

Mohd. Karim berkata, kumpulan itu mengekalkan sasaran sebanyak RM10 bilion dari segi nilai perolehan kontrak pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Setakat ini, nilai perolehan kontrak Serba Dinamik berjumlah RM8.7 bilion. - BERNAMA