Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, pensijilan halal secara komprehensif tersebut meliputi keseluruhan proses termasuk bahan-bahan dari sumber utama, penghasilan serta pengedaran.

Jelas beliau, MSM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekalkan perakuan seperti Pensijilan Halal Malaysia, MS1500:2009, Pensijilan Kosher daripada London Beth Din Kashrut Division, Pensijilan Sistem Keselamatan Makanan (FSSC 22000 – Pengeluaran), Pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan lain-lain pematuhan berkaitan keselamatan makanan.

“Terdapat pelbagai ciri pematuhan halal yang bukan sahaja melibatkan penggunaan bahan-bahan halal, tetapi turut mengambil kira sumber dan proses pengeluaran untuk menepati piawaian selari dengan hukum pemakanan Islam.

“Pemerhatian terhadap segala protokol dan prosedur perlu diberikan secara konsisten dalam memastikan segala proses mematuhi piawaian dan ciri-ciri penghasilan makanan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam proses penapisan gula, proses penyahwarnaan secara khusus melibatkan kaedah Resin Penukar Ion (IER) dan Karbon Teraktif Bergranul (GAC). Karbon teraktif boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan berkarbon seperti tempurung kelapa, arang dan serbuk tulang haiwan atau campuran bahan-bahan tersebut.

Penggunaan serbuk tulang yang dihasilkan daripada tulang haiwan yang dibakar adalah murah berbanding karbon teraktif komersial yang lain. Bagaimanapun, ia berkemungkinan dihasilkan daripada sumber haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut Syariah.

Isu tersebut menjadi perhatian utama dalam industri gula global, bukan sahaja dari aspek perakuan halal, tetapi turut menarik perhatian pengguna-pengguna vegetarian.

Tambah Khairil Anuar, MSM mampu untuk memberi jaminan bahawa keseluruhan proses penapisan gula adalah mematuhi perundangan Islam memandangkan proses penyahwarnaan yang dijalankan melalui kaedah IER dan GAC adalah bebas daripada kaedah-kaedah yang tidak halal seperti yang sering digunakan oleh kilang penapisan gula lain.

“Karbon teraktif yang digunakan untuk penghilangan warna tersebut adalah diperakui halal dan dihasilkan daripada arang,” katanya.

Operasi MSM melibatkan tiga buah kilang penapisan yang terletak di Prai, Pulau Pinang; Chuping, Perlis and Tanjung Langsat, Johor dengan keseluruhan kapisiti pengeluaran sebanyak 2.25 juta tan gula bertapis setahun.

Khairil Anuar berkata, lambakan gula di beberapa buah negara pengeluar berikutan lebihan bekalan telah menyebabkan gula bertapis murah yang diproses di luar Malaysia dibawa masuk ke pasaran domestik.

Katanya, situasi tersebut telah dieksploitasi oleh orang tengah yang mengambil keuntungan daripada harga semasa gula mentah dunia.

Walau bagaimanapun, gula-gula tersebut kini berada dalam pasaran Malaysia, tanpa sebarang pengesahan kualiti produk dan piawaian halal.

“Para pengguna yang mengutamakan pensijilan halal dan makanan berasaskan sayuran adalah dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli atau menggunakan gula bertapis dan produk-produk bergula yang dihasilkan menggunakan gula-gula import tersebut.

“MSM memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa semua produk gula kami adalah 100 peratus dijamin halal dengan mengambil kira proses penapisan dan pengeluaran dijalankan dalam negara serta diperakui oleh pihak-pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE