Menurut firma penyelidikan itu, simpanan stok minyak sawit pada Julai 2019 meningkat 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 2.4 juta tan metrik.

“Ini lebih rendah daripada konsensus Bloomberg dan Reuters, masing-masing sebanyak -3.2 peratus tahun ke tahun dan -3.1 peratus tahun ke tahun,” katanya, sambil menambah paras inventori bulanan naik pada asas tahun ke tahun sejak 25 bulan lepas sejak Julai 2017.

“Ini disebabkan paras pengeluaran yang lebih tinggi berikutan industri minyak sawit memasuki tempoh pengeluaran yang tinggi dan mengimbangi permintaan eksport yang tinggi,” katanya.

Bagi asas bulan ke bulan, ia mencatatkan penurunan sebanyak - 0.8 peratus bulan ke bulan, penurunan terendah dicatatkan sejak Mac 2019.

“Kami berpendapat pengeluaran yang dijangka lebih tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang akan menambah tekanan ke atas paras inventori yang akan terus memberi tekanan kepada harga minyak sawit mentah (MSM),” katanya.

MIDF berkata harga MSM terus di bawah RM2,000 setiap tan metrik, walaupun purata harga semerta MSM Julai 2019 meningkat semula kepada RM1,927 setiap tan metrik daripada RM1,872 setiap tan metrik pada Jun 2019.

“Di sebalik peningkatan itu, ia masih mewakili penurunan sebanyak 10.5 peratus tahun ke tahun berbanding Julai pada tahun sebelumnya.”

Menurut firma penyelidikan itu, kemerosotan kekuatan Ringgit Malaysia berbanding dolar US mungkin merupakan faktor sokongan kepada harga MSM berikutan ringgit yang lemah biasanya akan meningkatkan permintaan eksport kepada minyak sawit Malaysia.

“Bagaimanapun, dengan isu lebihan bekalan semasa dan tempoh pengeluaran yang tinggi, kami menjangka halangan dalam pemulihan harga MSM untuk melebihi paras RM2,000 tan metrik dalam masa terdekat.

“Oleh itu, MIDF mengekalkan pendirian negatifnya ke atas sektor itu dengan sasaran harga MSM 2019 tidak berubah sebanyak RM2,090 setiap tan metrik,” menurut MIDF.

Sehingga 10.37 pagi, kebanyakan saham berkaitan perladangan merosot dengan FGV susut satu sen kepada RM1.08, PPB turun enam sen kepada RM18.70, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 36 sen kepada RM23.20, IJM Plantation tidak berubah pada RM1.37.

Sementara itu, Sime Darby Plantation meningkat lima sen kepada RM4.65 dan IOI Corporation naik satu sen kepada RM4.21.

Secara keseluruhan, indeks perladangan susut 3.57 mata kepada 6688.09 pada masa ini. - BERNAMA