Roslizawati Che Aziz

Pada suku pertama tahun ini, menurut Tourism Malaysia, industri pelancongan merekodkan perolehan sebanyak RM21.4 bilion, meningkat 16.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Tahun lalu sahaja, 25.8 juta pelancong berkunjung ke negara ini dan membelanjakan sebanyak RM84.1 bilion.

Bagaimanapun, kutipan levi itu dijangka mengumpul kurang daripada RM1 bilion sahaja.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesihatan, Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Roslizawati Che Aziz berkata, levi itu menyebabkan industri pelancongan semakin lemah dan terganggu memandangkan ia bukan sahaja membebankan pelancong dengan kos mahal tetapi menjejaskan keinginan pelancong melakukan aktiviti ke luar negara.

Katanya, banyak perniagaan pengendali pelancongan juga akan terjejas kerana bilangan pelancong semakin berkurangan dan kerancakan industri pelancongan merosot apatah lagi terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dan global yang semakin perlahan.

“Sektor pelancongan di negara ini amat memerlukan kehadiran pelancong tempatan dan pelancong asing, justeru, langkah memperkenalkan levi ini sudah tentu memberi kesan tidak langsung kepada jumlah kehadiran pelancong.

“Sektor pelancongan negara mempunyai rantaian perniagaan begitu besar termasuklah perhotelan dan premis-premis pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan dijangka melaksanakan levi pelepasan pada September ini tetapi mekanismenya belum diputuskan lagi kerana terdapat beberapa cadangan perlu dipertimbangkan.

Menurut Roslizawati, dalam masa sama, pelaksanaan cukai pelancongan 10 peratus yang dikenakan terhadap pelancong asing pula secara dasarnya tidak memberi banyak hasil kepada kerajaan, sebaliknya akan mengurangkan jumlah pelancong ke Malaysia.

“Cukai pelancongan ini juga telah memberi kesan buruk terhadap pelancong asing yang melawat Malaysia kerana kos perjalanan sedia ada (seperti tiket penerbangan, bilik penginapan dan SST) juga sudah pun mahal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, sekiranya kerajaan tidak melakukan kajian secara menyeluruh, ia akan menjejaskan kedatangan pelancong sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi kurang kompetitif.

Katanya, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai kesan kutipan levi itu dan kaedah kutipan yang akan dilaksanakan.

“Malangnya, kerajaan tidak mempunyai alternatif termasuk mendapatkan pandangan kami (MATTA). Sepatutnya mereka perlu berbincang dan memberi penera­ngan mengenai industri,” katanya.

Sebelum ini, pada April, MATTA melahirkan kebimbang­an mengenai pelaksanaan levi ini yang dijangka memberi ke­san kepada industri pelancong­an dan menggesa kerajaan supaya menangguhkannya sehingga enam bulan dari tarikh asal penguatkuasaannya, 1 Jun lalu.