Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, kebanyakan syarikat-syarikat teknologi dan telekomunikasi kini dalam perancangan bagi melaksanakan sistem 5G menjadi antara pemacu bagi saham-saham sektor berkenaan.

“Kami di PMB Investment melihat kedua-dua sektor ini mempunyai potensi yang tinggi. Tempoh kejatuhan sektor O&G misalnya telah berlalu dan bagi sektor teknologi dan komunikasi pula kita mula melihat kemasukan teknologi 5G dan ini memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat seperti teknologi kewangan (fintech) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani nota strategik di antara PMB Investment dan Etiqa Family Takaful Bhd. (Etiqa) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Tengku Ahmad Badlishah Raja Husin; Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Bhd., Zafri Ab. Halim dan Ketua Akademi Etiqa, Muhammad Adli Alias.

Tambah Najmi, pihaknya mengunjurkan Bursa Malaysia FBM KLCI berada pada paras purata 1,740 mata menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu PMB Investment mengunjurkan jumlah pelaburan sehingga RM700 juta menjelang akhir tahun ini sekaligus dapat membantu kumpulan mencapai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM2 bilion yang disasarkan.

“Ketika ini PMB Investment mempunyai AUM bernilai kira-kira RM1.2 bilion dan kami yakin dapat mencapai sasaran jualan terutamanya dengan kerjasama yang dijalankan dengan Etiqa pada hari ini,” katanya.

Melalui kerjasama tersebut, Najmi berkata, Etiqa akan membantu PMB Investment memenuhi keperluan latihan dalam usaha memantapkan perunding unit amanah (PUA) PMB Investment. PUA. 
“Kerjasama strategik ini akan memberi ruang kepada PMB Investment bagi mendapatkan kepakaran teknikal daripada Akademi Etiqa terutamanya bagi perkongsian pengetahuan mengenai jualan dan kepe­mimpinan,” katanya.

Setakat 28 Februari 2019, PMB memiliki 1,000 PUA dan jumlah itu dijangka meningkat sebanyak 50 peratus menjelang hujung tahun ini.