Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, dengan perkembangan tersebut, sektor GBS mampu menjadi pemang­kin penting untuk merangsang ekonomi negara.

Menurutnya, setakat Disember 2016, Malaysia menjadi ‘rumah’ kepada 499 syarikat GBS dengan menyediakan 93,000 peluang pekerjaan sekali gus jumlah itu melepasi sasaran 43,330 pekerjaan menjelang tahun 2020 yang disasarkan dalam perkhidmatan perniagaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Kedudukan strategik negara dalam kalangan negara ASEAN, infrastruktur bertaraf antarabangsa dan polisi mesra perniagaan antara kelebihan yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan pelabur," katanya pada perasmian Outsourcing Malaysia (OM) di GBS Iskandar, Bandar Medini di sini hari ini.

Pembukaan pejabat OM yang merupakan satu inisiatif industri penyumberan luar menerusi Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) di sini selari dengan pertumbuhan yang pesat sektor berkenaan di GBS Iskandar.

GBS Iskandar diuruskan oleh i2M Ventures Sdn. Bhd. (i2M), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

Sementara itu, menurut Pe­ngarah Urusan i2M, Zulfiqar Zainuddin, OM merupakan antara sembilan syarikat yang melabur di GBS Iskandar selain Frost & Sullivan, Courts Asia, Brandt International, Vistra, Imagineering Institue dan Nityo Infotech.

“GBS Iskandar dilancarkan pada tahun lalu dan sehingga kini sebanyak sembilan syarikat sudah bertapak di sini dengan pelaburan komited sebanyak RM1.4 bilion dan menyediakan lebih 2,800 peluang pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, GBS Iskandar men­jangkakan sebanyak lima sya­rikat lagi menyediakan per­khid­matan mereka di GBS Iskandar tahun ini.