Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Haq Md. Noh berkata, sasaran tersebut adalah tertinggi di Malaysia dan yakin dicapai kerana model baharu itu mempunyai empat kelebihan.

“Antara keistimewaannya ialah mempunyai ciri keselamatan yang tinggi. Triton baharu mempunyai kerangka jenis ladder yang memiliki tahap keteguhan yang tinggi.

“Begitu juga disokong sistem keselamatan aktif termasuk Foward Collision Mitigation (FCM), Amaran Titik Buta (BSW), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang

(RCTA) dan sistem Ultrasonic Misacceleration Mitigation (UMS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Mitsubishi Triton baharu itu di Eon Automart Sdn. Bhd. malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang dan Pengurus Cawangan Eon Automart Sdn. Bhd., Yusoff Md. Saad.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan model trak pikap, Triton baharu berharga antara RM100,200 hingga RM135,200 sebuah tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia.

Ditawarkan dalam lima varian iaitu Triton MT yang berharga RM100,200 sebuah, Triton AT (RM105,990), Triton MT Premium (RM112,500), Triton AT Premium (RM118,600) dan Triton

Adventure X (RM135,200).

Dalam pada itu, Shamsul berkata, Eon Automart Sdn. Bhd. di Skudai Kiri itu beroperasi sebagai pusat sehenti sejak dibuka pada 2005 antaranya menawarkan perkhidmatan jualan, bilik pameran, alat dan komponen gantian, pusat servis selain tempat untuk mengecat.

“Eon Automart Sdn. Bhd. di Skudai Kiri juga dijadikan tempat untuk menukar tayar, membaiki penghawa dingin selain melakukan pengimbangan (balancing) dan penjajaran (alignment),”

katanya. - UTUSAN ONLINE