Pengarah Urusan Kumpulan Jardine C&C, Alex Newbigging berkata, syarikat akan terus menyokong institusi pengajian yang terlibat secara berterusan bagi tempoh lapan hingga 12 ­tahun melalui pelbagai sumbangan yang bersifat jangka panjang.

Menurut beliau, pelancaran program biasiswa tersebut mencerminkan komitmen Jardine C&C untuk meneruskan pelaburan di Asia Tenggara.

“Dengan meningkatkan akses kepada pendidikan dan bekerjasama dengan rakan kongsi universiti bertujuan untuk membantu membina masyarakat yang lebih kuat dan makmur di seluruh rantau ini, Jardine C&C Scholarship juga mencerminkan strategi pelaburan kami iaitu pelaburan jangka panjang yang memberi fokus terhadap pembangunan Asia Tenggara.

“Kami berharap inisiatif ini dapat memperkayakan institusi pendidikan tempatan. Di sam­ping itu, biasiswa ini bertujuan membuka peluang kepada bakat terpendam di rantau ini dan menggunakan peluang berkenaan untuk memajukan komuniti tempatan mereka selain memacu pro­ses pembangunan,” katanya dalam ­ke­nyataan di sini hari ini.

Tambah Newbigging, universiti-universiti yang terlibat adalah National University of Singapore (NUS), Universitas Indonesia, Univerisiti Malaya, Vietnam National University, Chulalongkorn University dan University of Yangon.

Katanya, program itu terbuka kepada siswa dalam pelbagai bidang dan antara kriteria pemilihan termasuk prestasi akademik yang cemerlang, komitmen tinggi terhadap tugas awam, penglibatan kuat dalam aktiviti kemasyarakatan dan jumlah pendapatan isi rumah.

“Pengambilan pertama bermula pada bulan ini. Jardine C&C mempunyai tradisi selama tiga dekad dalam menyokong sektor pendidikan tinggi yang mana sebelum ini pernah mem­biayai pelbagai program pelantikan profesor dan juga program ijazah sarjana muda,” ujarnya.

The Jardine Cycle & Carriage ­Professorship yang ditubuhkan pada 1984 merupakan program pelantikan profesor paling lama di NUS. Sokongan Jardine C&C terhadap sektor pendidikan menggariskan komitmen mendalam syarikat terhadap masyarakat setempat dan sektor perniagaan.