Presiden Perniagaan Paparan Visual Samsung Electronics, Jonghee Han berkata, reka bentuk teknologi Mikro LED revolusi baharu dipaparkan pada majlis berkenaan termasuk paparan 75 inci.

Katanya, antara lain terma­suk saiz, bentuk dan konfigurasi untuk generasi akan datang paparan modular Mikro yang me­rupakan pemenang Anugerah Inovasi Terbaik CES 2019.

“Teknologi Mikro LED kami adalah di barisan hadapan dalam revolusi skrin dengan ciri pintar, paparan disesuaikan yang cemerlang dalam setiap prestasi kategori.

“Selama beberapa dekad, Samsung meneraju inovasi paparan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada acara CES tahun lepas, Samsung memperkenalkan Mikro LED yang dinamakan sebagai The Wall, televisyen bersaiz 146 inci yang memenangi anugerah.

Susulan kemajuan semikonduktor ultra halus, Samsung kini dapat menghasilkan Mikro LED 4K, paparan lebih kecil dan mesra pengguna bersaiz 75 inci.

Penggunaan teknologi modu­lar Mikro LED menawarkan fleksibiliti dalam saiz skrin yang membolehkan pengguna menyesuaikan ia dengan mana-mana bilik atau ruang. Dengan menambah modul Mikro LED, pengguna boleh mengembangkan paparan mereka kepada mana-mana saiz yang mereka inginkan.

Antara saiz skrin termasuk 9x3, 1x7 atau 5x1 yang sesuai dengan ruang mereka, estetik dan keperluan.