Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics, DJ Koh berkata, Galaxy Watch Active2 direka dengan ciri-ciri baharu dan intuitif untuk disesuaikan de­ngan gaya hidup peribadi pengguna, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan serta kehidupan lebih lancar dan terhubung.

Katanya, edisi terbaharu itu membolehkan pemilik menjalani kehidupan lebih baik menerusi perubahan kecil bermula dengan mencapai matlamat kese­jahteraan seperti tidur, kecergasan dan pengurusan tekanan sehingga kepada menyelesaikan tugasan dengan berkesan.

“Menerusi Galaxy Watch Active2, kami menghasilkan peranti yang membolehkan pengguna mengawal kesihatan dan kesejahteraan dengan lancar dan dihubungkan ke ekosistem Samsung Galaxy agar memudahkan kehidupan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Galaxy Watch Active2 didatangkan dalam dua saiz iaitu dengan diameter 44 mili­meter (mm) dan 40 mm serta dua gaya, aluminium ringan serta Fluoroelastomer (FKM) Band dan keluli tahan karat pepejal premium bersama tali kulit.

Tambah Koh, jam pintar tersebut boleh disesuaikan de­ngan pelbagai pilihan tali dan permukaan jam yang bergaya.

Menurutnya lagi, Galaxy Watch Active2 ditambah baik dengan bezel berputar yang sinonim dengan Samsung dan ditukar kepada digital supaya lebih selesa untuk memandu arah sambil memaksimumkan saiz skrin.

“Menerusi skrin Super AMOLED yang menarik, bezel sentuhan berputar itu boleh ditukar sama ada dengan mengikut arah jam atau berlawanan jam supaya pengguna lebih mudah memilih aplikasi kegemaran.

“Selain itu, One UI yang ditambah baik menawarkan pengalaman mudah, jelas dan semula jadi kepada pengguna untuk memandu arah,” katanya.

Untuk tujuan senaman, jam pintar berkenaan secara manual boleh menjejak lebih 39 jenis senaman dengan tujuh daripadanya diaktifkan secara automatik seperti larian, berjalan, berbasikal, berenang, mesin gerak kayuh, mesin elips dan senaman dinamik.