Pandangan pertama saya sebaik sahaja tiba di lokasi, F850 GS nampak ‘tampan’ sebagai sebuah motosikal adventure, tidak terlalu maskulin. Namun apa lebih penting, kerisauan saya tadi hilang apabila mendapati tinggi tempat duduk model ini adalah 835 milimeter (mm). Memanglah masih lagi tinggi buat saya tetapi cukup selesalah untuk naik dan turun dari motosikal serta berhenti di lampu isyarat merah. Walau bagaimanapun, pembeli mempunyai pilihan untuk menukar tempat duduk hingga jenis rali 890 mm. Nampaknya BMW seperti mahu memenuhi impian lebih ramai penunggang pelbagai bentuk fizikal tidak kiralah rendah atau tinggi, bertubuh kecil atau besar untuk mengembara dengan motosikal keluaran mereka.

BUKAN GAYA JERMAN?

Apa ciri-ciri F800 GS yang masih dikekalkan pada F850 GS? Boleh dikatakan tiada langsung. Ia seperti bayi yang baharu dilahirkan, serba-serbi baharu. Gaya pelik F800 GS dengan tangki minyak di bawah tempat duduk sebelah kanan, ekzos di sebelah kiri dan pacuan rantai di sebelah kanan sudah tiada. Tiada lagi ‘identiti’ buatan Jerman. Sebaliknya tangki minyak F850 GS terletak di celah paha penunggang manakala ekzos dan pacuan rantai kembali ke ‘posisi asal’.

F850 GS juga tidak kelihatan gedebak seperti F800 GS. Ini kerana saiz kerangkanya sedikit kecil daripada model terdahulu. Antara faktor-faktor yang menyumbang adalah tinggi tempat duduknya dan tangki minyak lebih kecil iaitu 15 liter.

MESRA PENUNGGANG

Enjin F850 GS bersesaran 853 cc dikatakan lebih berkuasa daripada F800 GS. Ia berkuasa 70 kilowatt (kW) atau 92 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm manakala daya kilas maksimum 92 meter Newton (Nm) pada 6,250 rpm.

Saya tidak berpeluang menguji jentera ini pada permukaan off-road. Namun jalan lama Gombak-Bentong yang sempit, berselekoh tajam dan permukaan tidak rata di beberapa lokasi rasanya memadai untuk menguji skil tunggangan saya. Kebetulan hari itu permulaan cuti sekolah membuatkan ramai warga kota berpusu-pusu keluar sama ada balik kampung atau makan angin. Tindakan ribuan kenderaan memasuki Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak secara serentak menyebabkannya teramat sesak, hampir tidak bergerak. Justeru, ramai yang beralih menggunakan jalan lama Gombak-Bentong.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sepanjang tunggang uji di laluan ini, kedudukan bar hendal bagi saya cukup selesa. Lengan tidak terasa lenguh meskipun menunggang lama. Posisi tunggangan memudahkan saya melihat kehadiran kenderaan dari arah bertentangan. Ini sekali gus membolehkan saya memotong deretan kenderaan dengan penuh yakin meskipun di selekoh. Tindak balas juga pantas untuk saya masuk semula ke laluan asal sekiranya ada kenderaan muncul dari depan secara tiba-tiba. Begitu juga semasa berdepan pemandu ‘gila’ dari arah bertentangan yang memotong di selekoh, ia begitu responsif. Adanya sistem brek antikekunci (ABS) dan kawalan kestabilan automatik (ASC) menambahkan lagi keyakinan.

Paparan skrin komputer memudahkan saya membaca maklumat yang diperlukan. Begitu juga kedudukan paparan TFT bersaiz 6.5 inci, mudah dilihat.

Terdapat dua mod standard yang boleh dipilih iaitu Road (laluan kering) dan Rain (laluan basah).

HARGA

Ditawarkan pada RM79,500, terdapat tiga pilihan warna iaitu putih (light white), merah (racing red) dan biru (lupin blue metallic).

Kesimpulannya, F850 GS adalah motosikal adventure yang mampu memenuhi penunggang yang sukakan cabaran. Ditambah kelengkapan serta peralatan canggih, menunggang ke ceruk mana sekali pun pastinya tidak mustahil. Sudah bersediakah mahu sahut cabaran F850 GS?