Sehingga pukul 2.30 petang, saham MAHB turun 0.23 peratus atau dua sen kepada RM8.53.

Ketika berita ini ditulis, sistem itu masih belum pulih sepenuhnya selepas dua malam mengalami gangguan sehingga mengakibatkan kelewatan penerbangan dan menimbulkan kesulitan kepada penumpang.

Kerosakan sistem itu menyebabkan ribuan penumpang kecewa kerana mereka perlu memeriksa masuk bagasi mereka secara manual.

Gangguan tersebut menjejaskan kedua-dua terminal, selain menjejaskan fungsi lain di lapangan terbang berkenaan seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk, paparan maklumat penerbangan dan Wi-Fi.

Menurut laporan, situasi di KLIA bagaimanapun tenang susulan kehadiran ramai petugas MAHB selain Malaysia Airlines serta lain-lain perkhidmatan lapangan terbang, yang menjawap pertanyaan penumpang, bagi melancarkan proses daftar masuk.

MAHB menasihati penumpang supaya tiba ke lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu penerbangan mereka berlepas. - BERNAMA